Selasa, 14 Jun 2016

Ketua jurulatih Kelantan sudah ada pilihan pemain import baharu

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan Kelantan akan mendapatkan pemain import baharu sebagaimana dikehendaki ketua jurulatih, Velizar Popov, bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia.

“Alhamdulillah, nampaknya Popov sudah ada pilihannya. Saya akan sokong walaupun sangat berat bagi saya yang menanggung seorang diri.

“Tetapi Insya-Allah dengan sedikit yang ada, kami tetap mampu menyaingi mereka yang berada. Lawan tetap lawan. Gomo Popov Gomo. We are with you," katanya dalam entri laman sosial Facebook.

Dalam perkembangan yang sama, Annuar juga menjelaskan KAFA sudah mula membayar tunggakan gaji bekas pemainnya sebagaimana yang dijadualkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Tunggakan juga sudah mula kita bayar ikut tarikh akhir FAM.Saya tetap berusaha walaupun semua tak mahu bantu dan jauhkan diri,” katanya.

Beliau juga yakin sindirian dan kutukan yang dilemparkan terhadapnya tidak mudah melemahkan semangatnya sebagai anak Kelantan untuk menyaingi kemampuan kelab atau persatuan bola sepak yang kaya.

“Ada juga yg menyindir dan mempertikaikan kenapa TRW masih mahu menggunakan import sedangkan kita kononnya tak mampu.

"Ya saya sedar. Mereka yang dana jatuh atas riba memang senang bercakap. Tapi sebagai anak Kelantan, kami tidak mudah lemah atau berputus asa. Mungkin Kelantan dan KAFA tidak sekaya mereka,” katanya.

Terdahulu, sebelum bercuti, Popov mengesahkan tidak berminat untuk menggunakan khidmat tiga pemain import Nigeria, iaitu Noah Olawale Ojuola, Jacob Olayemi Ogunnleye dan Sani Shehu Emmanuel kerana tidak mempunyai kualiti yang diharapkan dan gagal menyesuaikan diri dengan formasi permainan yang dikehendakinya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget