Selasa, 21 Jun 2016

Hajat Datuk Vida terlaksana

Hajat Dr Vida menukar wajah Stadium Sultan Muhammad IV terlaksana apabila kerja mengecat bahagian dalaman dan luaran dengan warna merah jambu yang dipilihnya siap sepenuhnya.

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida, berkata suntikan warna baharu itu kini menyegarkan wajah stadium berkenaan yang dibina pada 1967.  

"Segala perancangan awal untuk menukar warna stadium berjaya mencapai matlamatnya. Warna merah jambu yang dicat juga menjadikan suasana pemandangan stadium lebih terang, cantik, kemas dan menarik.

"Kontraktor berjaya menyiapkan kerja mengecat dalam tempoh dua bulan saja walaupun tidak menetapkan tarikh untuk menyelesaikan tugasan diberikan.

"Wajah baharu stadium diharap menjadi pemangkin pemain untuk mencipta kemenangan pada perlawanan pusingan kedua liga bermula Julai nanti," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Impian Berkat Trading, Halizan Halim, berkata pihaknya bersyukur kerana kerja mengecat bahagian dalam dan luar stadium sudah selesai sepenuhnya.

"Proses mengecat bermula April lalu dan berakhir bulan ini. Bahagian tempat duduk dan lorong masuk pemain serta penyokong dicat warna putih manakala bahagian lain berwarna merah jambu.

"Sebanyak 18,000 liter cat jenama Kansai digunakan dan kira-kira 50 tenaga pekerja digunakan sepanjang proses mengecat dilakukan. "Penggunaan cat berjumlah 9,000 liter cat putih dan 9,000 liter lagi warna merah jambu.

"Kerja mengecat juga hanya dilakukan sekiranya tiada perlawanan membabitkan pasukan Kelantan di Kota Bharu," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget