Jumaat, 13 Mei 2016

Final Piala FA 2016 : Shafiq anggap semua pemain PKNS berbahaya

Dibayangi imej elit dan juara Piala AFC, ia bukan alasan untuk JDT memandang enteng lawan mereka di perlawanan akhir Piala FA esok.

Bagi ketua pasukan Safiq Rahim, dia menganggap semua pemain PKNS FC sebagai berbahaya dan mampu mengancam JDT di setiap posisi.

Walaupun PKNS FC hanya beraksi di Liga Perdana, bagi Safiq kemampuan kelab itu menewaskan pasukan lain dari Liga Super perlu dihormati kerana, katanya, kejayaan itu berlaku bukan saja di gelanggang sendiri malah di tempat lawan.

"Apa yang penting, pemain PKNS konsisten dan bagi saya dengan pemain tempatan dibantu pemain import semua bahagian mereka bagus," katanya pada sidang media praperlawanan di Shah Alam, hari ini.

JDT mara ke final Piala FA setelah mencatat kemenangan dengan agregat 4-3 ke atas Kedah, manakala PKNS FC mengetepikan Perak - juga dengan agregat 4-3.

Perlawanan akhir edisi kali ini juga istimewa kerapa kedua-dua pasukan memburu kejuaraan sulung masing-masing untuk Piala FA.

Mengulas lanjut persedia skuad Harimau Selatan, Safiq berkata tidak menjadi persoalan siapa yang akan muncul juara selepas tempoh 90 minit berakhir di Stadium Shah Alam nanti.

"Bagi saya kami dah sampai ke perlawanan final sudah cukup baik dan tidak ada tekanan.

"Kalau kita letak tekanan, kita tak dapat bermain dengan baik. Saya harap kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik dan menjadikan ia perlawanan akhir terbaik," katanya.

Sementara itu Kapten PKNS FC, Shahrul Azhar Ture, dia dan rakan-rakan mempunyai motovasi tinggi untuk membuat kejutan sekali gus melakar sejarah pertama buat skuad The Red Ants.

"Moral pasukan sekarang dalam keadaan baik, motivasi semua pemain tinggi untuk melakar sejarah pertama untuk PKNS.

"Setiap perlawanan kami cuba buat kejutan demi kejutan. Perlawanan akhir ini kami akan lakukan sebaik mungkin, dan slogan never give up never surender jadi pegangan," jelasnya.

Pengendali PKNS FC E Elavarasan pula menyifatkan pasukannya sebagai bukan pilihan berbanding JDT namun bersedia dengan segala kemungkinan untuk aksi di atas padang.

"Secara keseluruhan keadaan PKNS tiada masalah. Saya juga berharap tiada masalah saat akhir. Dalam 90 minit segalanya boleh berlaku walaupun kami pasukan underdog," katanya.

Sumber : malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget