Ahad, 10 April 2016

Pengurus The Bos Gaurus umum letak jawatan

Berikutan kekalahan pasukan Perak The Bos Gaurus kepada Pahang FC malam tadi, Pengurus Skuad Liga Super itu, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengumumkan perletakan jawatan sebagai pengurus.

Menerusi laman mikro Twitter malam tadi, Shahrul Zaman yang membalas tweet seorang penyokong Perak menjelaskan peletakan jawatannya sebagai pengurus itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

"Saya dah maklum kepada ds (Datuk Seri) presiden mohon perletakan jawatan saya sebagai pengurus pasukan liga super. Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya," katanya menjawab beberapa persoalan dan desakan penyokong di twitter sejurus selepas perlawanan.

Shahrul Zaman yang juga Timbalan Presiden Pafa bagaimanapun tidak menyalahkan pasukan khususnya jurulatih kerana menganggap mereka sudah melakukan yang terbaik untuk pasukan.

Mengenai desakan agar jurulatih ditukar, beliau menjelaskan pelantikan dan pertukaran bagi jawatan itu akan ditentukan oleh jawatankuasa pasukan.

"Saya masih timbalan presiden Pafa dan akan bantu presiden serta pasukan sehabis baik. Cuma tak layak jadi pengurus... Pengurus pasukan bertanggungjawab spesifik tentang pasukan. Timbalan presiden bertanggungjawab bantu presiden jaga Pafa," katanya lagi

Perak tewas 4-3 di tangan Skuad Tok Gajah di Stadium Perak, di Ipoh, malam tadi sekaligus menyaksikan The Bos Gaurus terus berada di zon penyingkiran bersama-sama pasukan Pahang.


Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget