Rabu, 6 April 2016

Kutip satu mata ketika bertemu Selangor amat bermakna

Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe mengakui satu mata yang dikutip ketika bertemu Selangor pada Selasa malam amat bermakna buat pasukannya.

Jelas Cheng Hoe, bukan mudah menentang pasukan besar seperti Selangor, lebih-lebih lagi mereka masih segar bergelar juara Piala Malaysia Disember lalu.

"Pasukan bermain dengan baik walaupun pada separuh masa pertama kita ketinggalan satu gol kerana pemain-pemain agak gopoh.

"Namun corak permainan berubah pada babak kedua dan mereka banyak menggunakan peluang yang ada dengan baik. Kami berjaya menyamakan kedudukan (2-2) serta menyekat percubaan yang cuba dilakukan pasukan tuan rumah bagi memastikan satu mata berjaya dikutip.

"Walau bagaimanapun, saya masih kurang berpuas hati dengan jentera serangan yang masih tumpul. Kami akan cuba perbaik sebelum perlawanan seterusnya," jelas Cheng Hoe.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menggunakan tempoh dua hari sebelum aksi liga bertemu pasukan jiran, Pulau Pinang Sabtu ini dengan perbaiki beberapa kelemahan yang ada sebelum ini.

"Walaupun kedudukan Pulau Pinang  sedikit jauh dari kami, tetapi kita tidak boleh memandang rendah kepada mereka. Kelebihan bermain di tempat sendiri akan digunakan sebaik-baiknya.

"Selain itu, saya berharap agar kedua-dua penyokong yang akan hadir pada Sabtu ini supaya memberi sokongan dengan penuh semangat kesukanan tanpa menimbulkan sebarang kekecohan mahupun pergaduhan," tambahnya.

Skuad Helang Merah kini berada di tangga keempat liga dengan mencatat sembilan mata daripada enam perlawanan dengan dua menang, tiga seri dan satu kalah.

Sumber : mstar

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget