Rabu, 6 April 2016

Ketiadaan Saiful Nizam buat Pahang hilang punca

Pahang hilang punca apabila tonggak utama Saiful Nizam Miswan terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan di separuh masa pertama ketika bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat sendiri malam tadi.

Ketua Jurulatih Mohd Razip Ismail berkata apabila Saiful Nizam dikeluarkan, aksi kemas pasukannya menjadi kucar-kacir sehingga PDRM berjaya meledakkan gol pertama.

"Apabila Saiful Nizam dikeluarkan, saya terpaksa menukar posisi beberapa pemain sehingga menyebabkan persembahan pasukan banyak berubah.

"Kita gagal untuk mengawal bahagian tengah dan aksi pemain menjadi semakin kelam-kabut selepas PDRM mendahului satu gol," katanya selepas perlawanan.

Beliau berkata di separuh masa kedua, anak buahnya sering kehilangan bola menyebabkan mereka cepat letih untuk merampasnya kembali dan akhirnya dihukum dengan jaringan kedua.

"Saya mengakui pemain gantian Pahang agak kurang dari segi kualiti selain memiliki barisan depan yang belum cukup tajam.

"Justeru, saya meletakkan Fauzi Roslan di posisi itu dan ini secara tidak langsung mewujudkan persaingan kepada pemain lain untuk merebut tempatnya," katanya.

Meskipun tewas 0-2 malam tadi, Razip yang merupakan bekas jurulatih skuad Harimau Muda optimis Pahang yang gagal memungut sebarang kemenangan selepas mengharungi enam perlawanan untuk bangkit menentang Perak pada Sabtu ini di Stadium Perak.

"Saya harap dapat bermula dengan baik dalam membimbing pasukan Pahang tetapi hakikatnya saya hanya boleh merancang.

"Namun saya tidak mudah putus asa dan masih menaruh harapan terhadap pemain untuk menunjukkan prestasi terbaik dengan membariskan pasukan terkuat nanti," katanya.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget