Jumaat, 8 April 2016

Keputusan pertemuan TRW dan JDT sudah boleh diramal

Apabila skuad yang sedang bergelut dengan masalah prestasi, Kelantan berdepan dengan Johor Darul Takzim (JDT), pastinya sudah ramai yang boleh meramalkan keputusannya.

Kelantan yang dikenali sebagai pasukan popular pada musim ini setelah mendapat penajaan besar daripada usahawan kosmetik, Dr Vida,  bakal menghadapi perlawanan sukar menentang JDT di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Jumaat ini.

JDT berlepas ke Kota Bharu hari ini, bakal turun dengan berkeyakinan tinggi selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Larkin 5 April lalu, malah membawa status satu-satunya pasukan tidak tertewas dalam saingan Liga Super setakat ini.

Sepanjang enam perlawanan, JDT hanya tewas sekali dan selebihnya menang berturut-turut, sekaligus gah berada di takhta liga. Kemenangan terakhir keatas Perak itu turut melebarkan rekod bersih skuad bimbingan Mario Gomez dalam 12 perlawanan dalam semua pertandingan.

"JDT adalah pasukan terbaik dalam liga dan ini memberi motivasi kepada pasukan lain untuk cuba menewaskan kita," kata jurulatih kelahiran Argentina itu.

Sebaliknya, prestasi The Red Warriors (TRW) terus tidak menentu, malah tewas 4-2 kepada pasukan lebih bawah, T-Team dalam perlawanan terakhir, menjadikan ia bolos terbesar skuad itu pada kempen Liga Super musim ini.

"Kekalahan itu memalukan," demikian luahan jurulatih TRW, K. Devan, yang menganggap skuadnya mudah tumbang kepada T-Team.

"Apa lagi yang boleh saya beritahu, Ia cukup memalukan bagi pasukan yang memiliki status hebat seperti Kelantan. Ini bukan prestasi sebenar pasukan Kelantan," tambahnya.

Sebelum ini, Devan turut mengakui pemainnya gagal memberikan komitmen 100 peratus, malah kesilapan banyak dilakukan oleh barisan pertahanannya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget