Rabu, 6 April 2016

Ini kali pertama saya 'direhatkan' : Jacksen F. Tiago

Jodoh Jacksen F. Tiago bersama Pulau Pinang dalam Liga Super hanya kekal enam perlawanan apabila menjadi jurulatih terbaharu direhatkan selepas sekadar meraih satu kemenangan sepanjang musim ini.

Kekalahan 1-2 di laman sendiri di tangan Sarawak yang belum pernah mencatat kemenangan musim ini, membuatkan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akhirnya hilang sabar.

Tatkala hanya kemenangan 4-1 ke atas Pahang menjadi aksi boleh dibanggakan, FAP membuat keputusan merehatkan Jacksen sehingga satu tempoh dan penolongnya, Manzoor Azwira, bakal diberi peranan mengendalikan pasukan utama.

Jacksen yang dihubungi, menerima dengan hati terbuka keputusan itu walaupun berasa belum puas selepas berjaya membawa pasukan muncul naib juara Liga Premier musim lalu.

"Ini adalah kali pertama saya 'direhatkan' dalam kerjaya saya.

"Bagaimanapun, saya yakin keputusan ini tidak akan membuatkan saya rasa sedih atau kurang yakin dalam bakat saya kerana saya percaya dalam diri saya," kata Jacksen.

Sementara itu, Manzoor Azwira melahirkan rasa terkejut dengan pelantikan tersebut, namun akan cuba membawa pasukan kembali berada di landasan sepatutnya.

Menggalas peranan selaku penolong jurulatih sejak musim 2013, iaitu ketika bermain dalam Liga FAM, dia yang merupakan bekas pemain Pulau Pinang dan Perlis berharap pengalamannya mampu memulihkan kembali moral pasukan.

"Ini adalah satu peluang untuk saya mengembangkan pengetahuan saya, sekali gus membantu pasukan Pulau Pinang mencatat prestasi yang lebih baik bermula hari ini," katanya.

Tahun ini, Jacksen hanya mampu mencatat satu kemenangan, tiga kekalahan dan dua seri setelah mengharungi enam perlawanan Liga Super. Dalam Piala FA pula, skuad Harimau Kumbang tersingkir di tangan Kuantan FA seawal pusingan kedua.

Jacksen merupakan jurulatih ketiga yang direhatkan dalam kempen Liga Super musim ini.

Ahmad Yusof adalah pengendali pertama yang direhatkan selepas prestasi tidak menentu Terengganu manakala Ahmad Shaharudin Rosdi menerima nasib sama, apabila skuad Tok Gajah gagal meraih sebarang kemenangan setakat ini.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget