Bagaimanapun, bekas pertahanan kebangsaan itu mengakui bagaikan tidak sabar membantu skuad Penyu dalam kancah liga dan bertekad merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Mike Mulvey itu selepas pulih daripada kecederaan.
“Selepas menandatangani kontrak bersama Terengganu akhir tahun lalu, saya belum lagi dapat membantu pasukan mengharungi saingan Liga Super dan Piala FA akibat kecederaan.
“Memang hasrat saya memperkuatkan benteng pertahanan Terengganu, namun dengan situasi kecederaan sekarang membuatkan saya terpaksa menunggu hingga pertengahan bulan depan untuk pulih sepenuhnya,” katanya semalam.
Awal Disember lalu, Amirizdwan bersama bekas ketua pasukan Sarawak Joseph Kalang Tie dan bekas pemain Pulau Pinang Yong Kuong Yong menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Terengganu.
Namun, kecederaan lutut kanan dialami sebelum saingan liga bermula menyebabkan bekas pertahanan Kelantan musim lalu itu terpaksa berehat lebih empat bulan sebelum kembali pulih sepenuhnya.
“Kini saya mula menjalani latihan ringan bersama skuad Terengganu, namun doktor perubatan kecederaan memaklumkan saya hanya pulih sepenuhnya hingga pertengahan April sebelum dapat membarisi skuad Peteh,” katanya.
Mengulas lanjut, pemain berusia 30 tahun yang memiliki Ijazah Sains Sukan itu mengharapkan prestasi permainanya tidak menurun walaupun selepas menjalani pembedahan lutut akibat kecederaan dialami.
“Kehadiran saya dalam skuad Terengganu untuk membantu pasukan dan bertekad memberikan aksi terbaik untuk sekurang-kurangnya mendakap satu trofi musim ini selepas berehat panjang,” katanya yang mengakui Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) begitu serius untuk mendakap piala musim ini.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan