Khamis, 3 Mac 2016

Tengku Abdullah pertimbang keputusan Jawatankuasa Eksekutif FAM

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta tempoh untuk mempertimbangkan keputusan kembali menerajui badan induk itu selepas hasratnya meletak jawatan ditolak Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), Isnin lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengadakan pertemuan dengan Tengku Abdullah hari ini, berkata beliau akan mengambil kira semua aspek dan memerlukan masa sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya sudah menghadap Tengku Abdullah di ibu negara pada hari ini bagi menyampaikan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Isnin lalu (29 Februari 2016) yang menolak hasrat beliau untuk meletak jawatan dan meminta beliau terus berada dalam saf kepimpinan FAM untuk penggal 2014-2018 ini.

"Selepas berbincang dari hati ke hati, keputusan yang dicapai tadi ialah Tengku Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM atas keputusan itu dan memahami segala penjelasan yang disampaikan oleh saya pada hari ini mengenai harapan barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM itu.

 "Justeru, Tengku Abdullah akhirnya telah membuat keputusan untuk memikirkan dan mempertimbangkannya, sebelum memaklumkan semula kepada saya dalam masa terdekat ini mengenai apa keputusan akhir yang bakal dibuat olehnya nanti.

"Tengku Abdullah turut memaklumkan, beliau akan mengambil kira semua aspek dan memohon sedikit masa untuk mempertimbangkannya sebelum memaklumkan kepada umum apabila tiba masanya nanti," kata Hamidin menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Exco FAM menerusi mesyuarat, Isnin lalu sebulat suara menolak hasrat Tengku Abdullah untuk meletak jawatan sebaliknya mahu baginda kekal menerajui badan induk itu untuk penggal 2014-2018.

Pada September lalu, Tengku Abdullah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan kerana kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget