Ia keputusan agak mengejutkan buat Selangor yang diletakkan sebagai pasukan pilihan di saingan kalah mati itu apatah lagi berdepan PDRM yang mempamerkan aksi tidak menentu dalam saingan Liga Super.
Bagi Zainal, beliau menyedari kelemahan itu dan berharap anak buahnya segera bangkit memandangkan mereka mempunyai tugas lebih penting menentang kelab dari Singapura Tampines Rovers dalam Piala AFC di Stadium Selayang, Selasa ini.
“Kita mensia-siakan banyak peluang walaupun menguasai 70 peratus permainan. Tapi, dalam bola sepak apabila banyak peluang terhidang tidak dapat diterjemahkan sebagai gol, akibatnya kita terpaksa menerima kekalahan.
“Saya harap ini satu pengajaran berguna. Kelalaian pertahanan juga membolehkan lawan menjaringkan dua gol biarpun tidak banyak serangan dilakukan mereka sepanjang perlawanan,” katanya.
Dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Hang Jebat, Melaka, Selangor ketinggalan menerusi jaringan Ahmad Nizam Rodzi pada minit ke-38 dan pemain kebangsaan Singapura Safuwan Baharuddin (m-58).
Biarpun penyerang import Patrick Ronaldinho berjaya merapatkan kedudukan m-86 namun kebangkitan itu agak lewat untuk Gergasi Merah mencari gol penyamaan untuk menghidupkan peluang mencari slot ke suku akhir.
Bagaimanapun, Zainal tidak mahu menjadikan alasan jadual padat sebagai faktor kekalahan pasukannya.
“Bagi saya itu bukan alasan kerana kami berjaya menguasai permainan cuma peluang yang dicipta tidak disempurnakan dengan baik,” katanya.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan