Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan terus menerajui Kumpulan H dengan kutipan enam mata selepas dua perlawanan.
Pada aksi disiarkan secara langsung menerusi TV9, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi memburu gol pembukaan, namun dihampakan oleh kekebalan benteng pertahanan masing-masing.
Peluang terbaik JDT memecah kebuntuan hadir pada minit ke-21, namun percubaan daripada luar kotak penalti Juan Martin Lucero berjaya ditepis penjaga gol pasukan tuan rumah, Lalthuammawia Ralte dan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.
Bersambung separuh masa kedua, JDT meneruskan asakan dan hasilnya, kapten pasukan Safiq Rahim meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-54.
Kedua-dua pasukan terus mengasak kubu masing-masing, namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga perlawanan tamat. Untuk rekod, JDT mengalahkan JSW Bengaluru FC 2-1 pada Pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 4 Februari tahun lepas.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan H, wakil Myanmar Ayeyawady United mencatat kemenangan sulung 4-2 ke atas kelab Laos, Lao Toyota FC di Stadium Pusat Latihan Belia, Myanmar.
JDT akan melayan kunjungan Lao Toyota FC di laman sendiri, manakala JSW Bengaluru FC bakal berkunjung ke Myanmar berdepan Ayeyawady United pada aksi ketiga Kumpulan H, 16 Mac ini.
Sumber : bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan