Selasa, 8 Mac 2016

Lagi episod malang menimpa Pahang FC

Satu lagi episod malang menimpa skuad Tok Gajah apabila ketua jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan penolongnya, Azaruddin Aziz telah menghantar surat dan menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan masing-masing kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di sini, Isnin lalu.

Setiausaha Agungnya, Fuzzeimi Ibrahim memberitahu, kedua-dua bekas pemain kebangsaan itu telah menyuarakan hasrat mereka dalam surat yang dihantar kepada persatuan tersebut.

Menurutnya, sehingga kini tiada keputusan muktamad diambil berikutan keputusan Ahmad Shaharuddin dan Azaruddin itu.

“Satu mesyuarat Exco PBNP akan dibuat pada Khamis ini sama ada untuk menerima dan tindakan selanjutnya berikutan  hasrat yang dinyatakan oleh mereka.

“Kita akan mengumumkan sebarang keputusan muktamad dan langkah seterusnya selepas mesyuarat tersebut,”katanya kepada Sinar Harian, di sini, sebentar tadi.

Tindakan Ahmad Shaharuddin dan Azaruddin dipercayai berikutan prestasi kurang memberangsangkan Pahang dalam saingan Liga Malaysia 2016 yang ditimpa tiga kali kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super 2016 dan terperosok di kedudukan tercorot liga setakat ini.

Dan dengan kegagalan terbaru apabila tumpas pada aksi pusingan ketiga Piala FA 2016 dengan kekalahan tipis, 0-1 di tangan Sime Darby FC di halaman sendiri, Stadium Darul Makmur, di sini, Sabtu lalu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pahang FC Sdn Bhd, Fahrizal Hassan telah meletakkan jawatannya pada Ahad lalu dan Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar V.V Abu dilantik mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Dalam pada itu, ditanya isu bekas dua pemain tengah Harimau Muda C, R Dinesh dan R.Kogileswaran, Fuzzeimi memberitahu, hasil mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin, dua pemain itu dibenarkan beraksi bersama Pahang namun bermula pada jendela kedua liga iaitu Jun depan.

“Setakat ini apa yang boleh saya katakan, kedua-dua pemain ini dibenarkan beraksi bersama Pahang bermula Jun depan dan kita sedang menunggu surat pengesahan rasmi daripada FAM,” katanya lagi.

Sebelum itu, kontroversi timbul apabila Frenz United menuntut kedua-dua pemain ini kembali kem pasukan itu selain Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) turut membuat tuntutan sama sehingga menyebabkan pemain yang menandatangani kontrak bersama Pahang untuk musim 2016 tidak dapat beraksi hingga kini.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget