Pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur kekal di kedudukan teratas walaupun sekadar seri 1-1 menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.
Keputusan itu menyaksikan skuad 'The Hawks' mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan dan mengutip 11 mata.
Kejayaan Kuala Lumpur mengekalkan kedudukan teratas turut dibantu kekalahan pesaing terdekat, DRB-Hicom FC yang tewas 0-1 kepada wakil Pahang, Kuantan FA di Stadium Darul Makmur hasil jaringan Abdul Malik Mat Arif pada minit ke-42.
Pada aksi di Shah Alam, Fahrul Razi Kamaruddin meletakkan Kuala Lumpur di depan pada minit ke-31 sebelum penyerang import dari Uzbekistan, Pavel Purishkin menyamakan kedudukan untuk UiTM FC pada minit ke-67.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan melonjak lima anak tangga ke kedudukan kedua selepas menang 5-0 ke atas pasukan tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Lima gol pasukan tuan rumah dijaringkan Alex Smith pada minit ke-51, Joel Chianese (m59 dan 71), Mohd Norhafizzuan Jailani (m80) serta gol sendiri pemain ATM, Badrul Hisham Mohd Sufian pada minit ke-87.
Terdahulu, ATM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Raja Mohd Ridzuwan Effendy mengutip kad kuning kedua pada minit ke-53.
Wakil kelab, PKNS FC pula meneruskan rentak kemenangan setelah menang tipis 3-2 ke atas Perlis di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Tiga gol skuad 'Semut Merah' dijaringkan Gabriel Guerra pada minit ke-19 sebelum beliau menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33. Matias Nicholas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-55.
Perlis berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi Kayne Vincent pada minit ke-61 dan Edward Junior Wilson pada minit ke-85.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kembali meraih kemenangan setelah mengalahkan Sime Darby FC 2-1.
Dua gol skuad Harimau Selatan dijaringkan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-52 dan Muhd Irfan Fazail pada minit ke-75 manakala gol tunggal pasukan pelawat dihasilkan Mohamad Rafiq Syah pada minit ke-60.
Sabah pula mengutip mata pertama musim ini setelah seri 2-2 dengan Melaka United di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan Igor Cerina pada minit ke-49 dan Leopold Alfonso pada minit ke-58 manakala dua gol pasukan pelawat dihasilkan See Kok Luen pada minit ke-41 dan Balsa Bozovic pada minit ke-70.
Liga Malaysia akan berehat seketika bagi memberi laluan kepada persiapan skuad Harimau Malaysia menentang Arab Saudi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan pada 24 Mac sebelum bersambung pada 4 April ini.
Sumber : bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan