Khamis, 31 Mac 2016

Kita hanya akan maju jika TMJ ambil alih FAM

Lagenda bola sepak Malaysia, Datuk M. Karathu percaya bahawa sudah tiba masanya bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia dirombak sepenuhnya, sambil mendakwa nepotisme dan juga ketidakcekapan yang berlaku akan terus merosakkan arena bola sepak tempatan, jika tiada perubahan dilaksanakan.

Beliau yang kini berusia 73 tahun telah mendambakan dirinya dalam arena bola sepak tempatan lebih lima dekad sehingga kini, telah memulakan kariernya sebagai pemain bolasepak pada tahun 1961. Beliau merupakan pemain yang menjaringkan gol pertama final Piala Malaysia edisi pertama pada tahun 1964, selain membantu Perak memenangi Piala FA sebagai ketua jurulatih pada tahun 1990 dan juga membawa Kelantan merangkul gelaran Liga Super pada tahun 2011.

Tetapi apa yang lebih penting, beliau telah menjadi saksi bagaimana terumbang ambingnya bolasepak tempatan, tanpa mencapai apa-apa kemajuan yang sepatutnya. Dan sekarang, beliau tidak nampak cara untuk memperbaikinya, kecuali kepimpinan FAM diterajui oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

"Lihatlah, saya telah menjadi sebahagian daripada sistem ini selama bertahun-tahun dan saya telah melihat segala-galanya. Dari isu mengatur perlawanan dengan rasuah hingga kepada pengurusan yang lemah, saya telah melihat semua perkara. Dan ianya tetap akan terus berlaku melainkan jika ada pembaharuan yang betul," katanya kepada FourthOfficial.com.

"Kita hanya boleh maju jika TMJ yang mengambil alih FAM. Kemudian kita akan memperolehi idea-idea moden. Kita juga akan mempunyai kepimpinan yang progresif, yang sudah pasti akan membantu arena bolasepak tempatan," tambahnya.

Tunku Ismail yang secara meluasnya dianggap sebagai ikon bola sepak utama di dalam negara, telah memainkan peranan yang monumental di belakang kebangkitan Johor Darul Ta'zim. Di bawah kepimpinan beliau, pasukan Harimau Selatan telah memenangi Liga Super Malaysia untuk dua musim berturut-turut, dan mereka juga telah memecah rekod menjulang Piala AFC pada tahun lepas dan menjadi pasukan Asia Tenggara pertama mencapai kejayaan tersebut, perkara yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Mereka telah menjalinkan kerjasama bertaraf antarabangsa dengan kelab-kelab seperti Borussia Dortmund dan Valencia CF, selain menawarkan beberapa kemudahan bolasepak terbaik di dalam negara. Tetapi perkara paling menarik perhatian Karathu adalah, perubahan terbesar yang Tunku Ismail bawakan kepada JDT adalah 'budaya profesionalisme' - sesuatu yang difikirkannya adalah amat-amat diperlukan dalam FAM.

"Apa yang dilakukan untuk JDT adalah sesuatu yang luar biasa. Ia bukan hanya tentang pemain dan kemudahan. Ia adalah berkaitan mentaliti. Keinginan untuk berjaya. Individu seperti ini perlu berada dalam FAM dan membuka mentaliti mereka yang ada dalam badan induk berkenaan.

"Menjadi Penasihat? Tidak, baginda perlu menjadi Presiden FAM yang seterusnya. Kemudian, barulah baginda dapat melaksanakan perubahan yang diperlukan. Sehingga detik itu, bolasepak kita akan terus berada di takuk yang sama. Terdapat terlalu banyak permainan politik. Kami tidak perlukannya," kata bekas ketua jurulatih Perak dalam kesimpulannya.

Sumber : FourthOfficial.com

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget