Rabu, 23 Mac 2016

Datuk Vida cadang bina stadium berserta hotel

Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu membina stadium baharu Kelantan dan Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) mengikut acuan kelab bola sepak Inggeris, Arsenal yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM520 juta.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata stadium dan hotel bertaraf enam bintang itu seharusnya dibina di tengah bandar sebagaimana yang dilakukan pasukan kendalian pengurus Arsene Wenger.

"Saya bercita-cita besar dengan mengimpikan stadium seperti Arsenal. Bukan sahaja terletak di lokasi yang strategik iaitu di pusat bandar, ia juga mudah dikunjungi dan menjadi tumpuan pelancong.


"Malah, keadaan persekitaran stadium itu turut menjadikan Arsenal sebuah pasukan yang unik dan ada identiti tersendiri kerana dikelilingi beberapa blok apartmen mewah dan hotel," katanya.

Sebelum itu, Vida berkesempatan melawat stadium tersebut selama hampir dua jam selepas kunjungan ke Manchester United terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Justeru beliau mahu kerajaan Kelantan mempertimbangkan semula tawaran untuk membina hotel dan stadium kedua negeri itu di tanah seluas 108 hektar di Bukit Merbau dekat Pasir Puteh.

"Saya harap agar kerajaan negeri pertimbangkan semula tawaran tanah itu. Ini berikutan beberapa faktor yang perlu diambi kira termasuk jarak dan ketiadaan kemudahan infrastruktur yang lengkap," katanya.

Menurut jutawan kosmetik itu, beliau sedia mempertimbangkan jika kerajaan Kelantan berhasrat menawarkan lokasi baharu yang lebih strategik iaitu di Bandar Baru Tunjung.

"Lokasi di Bandar Baru Tunjung mungkin pilihan kedua selepas pusat bandar. Saya sedia pertimbangkan jika kerajaan negeri menawarkan lokasi tersebut," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Stadium Emirates, Vida mengakui amat terpegun dengan struktur reka bentuk stadium tersebut yang unik, menarik, berbumbung dan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pemain serta juga penonton.

"Inilah stadium yang kita nak bina untuk Kelantan. Sebaik memasuki stadium aura kehebatan pasukan ini dapat kita rasai.

"Tidak mustahil Kelantan akan memiliki stadium seperti ini suatu hari nanti. Namun yang penting, sesebuah kemenangan itulah yang akan mencongak hala tuju pasukan ini," katanya.

Stadium Emirates yang terletak di Holloway, Islington, London mampu memuatkan seramai 60, 361 penonton untuk setiap perlawanan dan menelan kos kira-kira 470 juta pound.

Ia merupakan stadium kedua terbesar bagi pasukan Liga Perdana Inggeris selepas Stadium Old Trafford yang merupakan gelanggang pasukan Manchester United.

Sumber : mstar


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget