Rabu, 17 Februari 2016

Tidak menyangka jaringan jadi viral

"Saya tidak menyangka sama sekali jaringan itu cukup istimewa dan menjadi perhatian ramai peminat bola sepak dalam dan luar negara," kata pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, 29, yang menjaringkan gol luar biasa menerusi sepakan percuma sehingga video ulang tayang jaringan itu ‘viral’ seluruh dunia.

Mohd Faiz berkata, jaringan yang dilakukan pada minit ke-62 ketika saingan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya, malam tadi itu adalah satu kejutan yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.


Baginya, sejak berkecimpung dalam sukan bola sepak dari bangku sekolah rendah dan pengalaman selama lebih sembilan tahun sebagai pemain profesional ia adalah satu inspirasi buat dirinya.

Katanya, dia benar-benar terkejut dengan jolokan yang diberikan peminat bola sepak yang menyamakan gol dilakukannya itu dengan jaringan 'banana shot' yang dilakukan pemain bola sepak Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997.

"Dia (Roberto Carlos) adalah legenda bola sepak dan perjalanan saya sebagai pemain bola sepak masih jauh lagi dan memerlukan bimbangan dan tunjuk ajar agar menjadi pemain yang terbaik dan mampu memberi kejayaan kepada pasukan.

"Latihan asas dan displin tinggi serta fokus utama dalam perlawanan adalah rahsia kejayaannya sebelu berjaya menjaringkan dua gol dan tidak menyangka salah satunya begitu baik dan istimewa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Faiz berkata, pengalaman bersama pasukan Perlis, T Team, Kelantan, Terengganu serta Pulau Pinang yang kini sudah memasuki tahun kedua memberi peluang kepadanya menimba lebih banyak pengalaman.

Anak muda kelahiran Air Itam, Kedah itu berkata, ia membuktikan kepada semua bahawa masih terdapat pemain berbisa namun enggan untuk mendabik dada kerana kariernya sebagai pemain bola sepak masih jauh.

"Saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi pada masa akan datang biarpun ramai yang memberitahu jaringan itu layak dicalonkan untuk memenangi Anugerah Puskas iaitu anugerah yang diberikan kepada jaringan gol yang tercantik.

"Sekiranya ada, ia adalah rezeki buat saya namun sekiranya tiada tuah, saya akan menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya

Sementara itu, bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk K Rajagopal berkata, Malaysia patut berbangga memiliki pemain berbakat seperti Mohd Faiz.

Beliau berkata, dia pertama kali melihat tendangan percuma sedemikian dan sudah tentu ia merupakan jaringan yang cantik serta memerlukan teknik dan latihan yang betul.

Rajagopal berkata, dia sendiri melihat ulang tayang jaringan gol sepakan percuma itu beberapa kali dan Mohd Faiz perlu diberikan kredit dengan kejayaannya menjaringkan gol sedemikian.

"Secara jujur saya melihat tidak ada mana-mana individu dapat melakukan sepakan itu lebih daripada dua kali, malah Roberto Carlos yang menjaringkan gol dengan teknik yang sama tidak menjaringkan gol sebegitu lagi selepas itu.

"Bagaimanapun, tahniah kepadanya dan pasukannya bagi cabaran seterusnya kelak dan mencabarnya (Mohd Faiz) melakukan gol sebegitu lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget