Ahad, 28 Februari 2016

Tiago gembira P.Pinang dapat curi satu mata

Ketiadaan penjaring sensasi, Faiz Subri tidak dirasai oleh Pulau Pinang selepas skuad berkenaan mengikat pasukan PDRM, 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Pengendalinya, Jacksen Tiago ketika melahirkan rasa gembira dan lega kerana dapat mencuri satu mata pada aksi itu berkata, anak buahnya membuktikan betapa mereka mampu menyerap tekanan untuk bersaing dengan pasukan tuan rumah.

Katanya, ketiadaan Faiz akibat kecederaan mendorong dia menyusun strategi untuk memperkasa barisan tengah dan serangan.

"Memang pada awalnya saya agak bimbang dengan ketiadaan Faiz, namun melihat kepada prestasi ditunjukkan oleh semua pemain yang diturunkan berada tahap terbaik sepanjang aksi, saya akui lega dan gembira.

"Jika kami tidak menjaringkan gol dalam perlawanan ini sudah tentu jawapan saya berlainan.

Namun kegagalan pasukan menghalang dua jaringan lawan sememangnya perlu diberi perhatian," katanya selepas perlawanan.

Pun begitu, Tiago tidak menolak jika Faiz berada dalam kesebelasan  utama pasukan, sudah pasti persembahan skuad Harimau Kumbang akan lebih baik.

Dia melahirkan keyakinan pemain berkenaan akan kembali beraksi menentang Kelantan pada Sabtu ini.

"Dapat membawa satu mata pada aksi ini adalah sesuatu yang melegakan. Kita jangkakan Faiz akan kembali disenaraikan Sabtu ini," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget