Presiden FAP Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata pihak pengurusan pasukan sedang berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk menggugurkan seorang pemain import kerana gagal memberi persembahan terbaik, setakat ini.
Beliau berkata aksi penyerang import dari Brazil, Jose Tadeu amat mengecewakan dan pihaknya terpaksa mencari pengganti bagi menghadapi cabaran musim pertama dalam saingan Liga Super 2016.
"Kami sudah mengenal pasti seorang penyerang baharu dari Amerika Selatan, namun tiada sebarang keputusan dicapai setakat ini kerana kami mempunyai masa sehingga 14 Feb untuk mendaftarkan pemain import baharu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran jersi baharu skuad Harimau Kumbang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di sini hari ini.
Nazir Ariff mengakui pihaknya membuat kesilapan kerana membawa masuk seorang pemain import yang gagal menampilkan prestasi terbaik kepada pasukan.
Namun, beliau yakin pasukan Pulau Pinang mampu mencapai sasaran untuk menduduki kelompok enam teratas dalam kempen Liga Super tahun ini.
Dalam pada itu, ketua pasukan Pulau Pinang, Muhamad Rafiuddin Roddin berkata pasukan berkenaan yang terdiri daripada pemain muda dan berpengalaman sudah cukup bersedia mengharungi cabaran dalam saingan Liga Super musim ini.
"Secara peribadi, ini pertama kali saya beraksi dalam Liga Super. Kami tidak mahu tersingkir dalam penampilan pertama pada Liga Super, malah pihak pengurusan juga meletakkan sasaran agar berada dalam kelompok enam teratas," katanya.
Beliau berpendapat benteng pertahanan pasukan yang diketuai Reinaldo Lobo juga semakin mantap musim ini, namun beberapa kelemahan perlu segera diperbaiki sebelum saingan liga bermula.
"Kami perlu memperbaiki kelemahan dari segi keserasian dan aspek taktikal sebelum saingan liga bermula," katanya, sambil mengharapkan sokongan padu penyokong skuad Harimau Kumbang.
Pulau Pinang akan membuka tirai saingan Liga Super 2016 di tempat lawan menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, pada 13 Feb.
Sumber : bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan