Sabtu, 27 Februari 2016

Negeri Sembilan kutip satu mata si laman sendiri

Negeri Sembilan sekali lagi diikat di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana 2016, apabila sekadar seri 1-1 ketika berdepan pasukan Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Keputusan itu sekaligus meranapkan hasrat Skuad Hoben Jang Hoben untuk meraih tiga mata dan meleburkan rekod tanpa kalah pihak lawan.

Negeri Sembilan terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-23 menerusi gerakan lincah Mohd Norhafizzuan Jailani yang bijak menggelecek tiga pemain pertahanan, sebelum melepaskan rembatan ke arah gol.

Berselang tiga minit kemudian, pemain muda ini sekali lagi melancarkan asakan berbahaya ke kubu The Hawks untuk melebarkan jurang kedudukan.

Walaupun penjaga gol sudah tertewas, namun pertahanan Kuala Lumpur sempat mengeluarkan bola tandukannya betul-betul di atas garisan gol.

Memasuki babak kedua, Skuad Rusa tampak lebih banyak bertahan lalu menggambarkan seakan-akan mereka berpuas hati dengan satu gol diperoleh.

Strategi itu akhirnya membawa padah apabila pasukan pelawat menyamakan kedudukan tatkala masa perlawanan sebenar berbaki empat minit untuk ditamatkan.

Rembatan kencang Zhafri Yahya dari jarak lebih kurang 30 meter menuju tepat ke sebelah kiri gawang untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Syed Adney Syed Hussein yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget