Malah, bekas pemain kelab Atletico Independiente itu berazam mempamerkan aksi terbaik seandainya diturunkan menentang Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Larkin, malam esok.
Lucero menyifatkan dirinya bertuah kerana diberi peluang menyertai kelab ternama Malaysia biarpun turut mendapat tawaran kelab Uruguay dan Amerika Syarikat.
“Ada beberapa kelab turut menawarkan kontrak kepada saya dan antaranya kelab ternama Liga Uruguay, Nacional dan sebuah kelab di Amerika Syarikat, namun saya lebih suka memilih Johor DT.
“Sebelum ke sini, aksi terakhir adalah menentang Atletico Belgrano dan saya bermain 70 minit. Saya berada di tahap kecergasan terbaik biarpun menempuh penerbangan agak lama sebelum tiba di Johor Bahru.
“Apapun, saya amat teruja untuk bersama Jorge Pereyra Diaz kerana kami pernah beraksi dan berlatih bersama ketika di Altecito Independiente. Semestinya saya berazam untuk membentuk gandingan mantap bersamanya,” katanya.
Lucero juga menegaskan tidak timbul sebarang masalah berhubung Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan dia yakin segala dokumentasi dapat diselesaikan sebelum saingan Liga Super bermula.
Dia menambah, kehadirannya ke Johor DT menjadi kenyataan selepas diyakinkan Pereyra Diaz yang memberi maklumat terperinci mengenai kelab berkenaan sekali gus menyebabkannya tertarik untuk menyumbang bakti musim ini.
Sementara itu, pengendali Johor DT Mario Gomez optimis Lucero mampu menguatkan jentera serangan dan bergandingan bersama Pereyra Diaz ketika kedua-dua pemain itu sudah beraksi dan menjalani latihan bersama sebelum ini.
“Lucero pemain yang baik dan pernah beraksi bersama Pereyra Diaz. Malah, kedua-dua pemain itu memahami corak permainan masing-masing dan ia memberi ruang kepada saya untuk membentuk gandingan mantap.
“Lucero perlu memahami corak permainan bola sepak Malaysia dan dia memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga perlawanan untuk menyesuaikan diri, kemungkinan tetap ada untuk dia diturunkan menentang Selangor,” kata Gomez.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan