Ahad, 28 Februari 2016

Kurang pengalaman punca Pahang tewas

Kekurangan pengalaman skuad Pahang FC yang rata-rata dibarisi pemain muda menjadi faktor utama kekalahan mudah di tangan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini semalam.

Ketua jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan pemerhatiannya selepas perlawanan yang menyaksikan skuad Tok Gajah tumbang 1-3 di tempat sendiri.

Menurutnya walaupun pasukannya membuka tirai jaringan menerusi Mohd Faisal Abd Halim pada minit-12, anak buahnya mula hilang punca apabila Selangor bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil gol Patrick Ronaldinho.

Ronaldinho menjaringkan satu lagi gol sejurus sebelum wisel rehat sebelum bekas pemain sayap Pahang, R Gopinathan menyumbang gol ketiga pelawat untuk Selangor menang 3-1.

"Apabila gol penyamaan diperoleh Selangor, semangat mereka mula luntur dan tidak bijak menangani tekanan.

"Jurang pengalaman cukup jauh dengan Selangor yang berpengalaman luas termasuk beraksi dalam perlawanan yang lebih kompetitif," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pada 30 minit pertama, Pahang masih mampu menyerap tekanan dengan melakukan gerakan cantik serta beberapa percubaan tepat ke gawang lawan, namun mereka mula melakukan kesilapan apabila kehilangan bola di kawasan tengah sehingga memberi peluang serangan balas oleh Selangor.

Bagaimanapun, Shaharuddin enggan menyalahkan anak buahnya atas kekalahan itu dan menyifatkan pasukan kendaliannya masih baharu dan mentah.

"Walaupun tewas, ada lebih daripada lima percubaan tepat yang berjaya dicipta barisan serangan namun dinafikan palang gol serta kecekapan penjaga gol.

"Kami bukan tidak langsung mencipta peluang atau memberi pasukan lawan mendominasi perlawanan. Saya percaya pasukan ini boleh beraksi baik untuk lebih matang pada masa akang datang," katanya.

Susulan kekalahan itu, Pahang kini menghuni tangga tercorot liga selepas tiga perlawanan dengan mengumpul satu mata dan kalah dua kali.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget