Khamis, 4 Februari 2016

Jangan sekadar tukar nama

“Jangan sekadar tukar nama kalau prestasi masih di takuk lama,” kata Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (gambar) mengenai keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan Harimau Malaysia sebagai gelaran baru untuk skuad kebangsaan.

Pengkritik sukan tanah air itu berkata, pertukaran nama itu daripada Harimau Malaya tidak akan memberi banyak perbezaan kerana apa yang diharapkan peminat bola sepak adalah peningkatan prestasi pasukan kebangsaan.

“Tukar nama bukan boleh buat apa-apa, yang penting bagaimana cara menaikkan taraf bola sepak kita. Bagi saya tidak ada masalah dengan penggunaan gelaran Harimau Malaysia cuma saya percaya peminat lebih mahukan kejayaan.

“Mungkin ada yang tidak senang dengan nama baru ini kerana Harimau Malaya sudah sinonim dengan skuad kebangsaan tapi jika bola sepak Malaysia terus berkembang, semua pihak boleh menerimanya,” kata Kay Kim kepada Arena Metro semalam.

Perubahan baru dilakukan FAM apabila Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelmarin mengumumkan gelaran Harimau Malaya untuk skuad kebangsaan tidak akan digunakan lagi.

Sebaliknya nama Harimau Malaysia diperkenalkan kerana dilihat dapat merapatkan lagi sokongan semua rakyat negara ini berikutan nama Malaya sudah tidak relevan sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Menurut Kay Kim, FAM seharus melihat kembali faktor kejayaan bola sepak Malaysia pada zaman lampau untuk mengorak langkah ke era baru.

“Kenapa dulu mutu bola sepak negara kita lebih tinggi? Dulu bola sepak dimainkan di semua peringkat dengan pelbagai kejohanan dianjurkan. Kalau kita tidak wujudkan kembali suasana dan budaya itu, tak mungkin boleh mencapai kejayaan,” katanya.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget