Aksi Sumbangsih itu turut dikira sebagai perlawanan pembuka tirai Liga Super dengan pemenang turut mengutip tiga mata untuk saingan liga.
JDT, sebagai juara bertahan Liga Super dan Piala Sumbangsih pasti mahu merangkul erat Piala Sultan Ahmad Shah itu kerana ia turut melancarkan kempen hatrik kejuaraan liga dengan nada positif.
Selangor pula yang turun sebagai juara Piala Malaysia serta naib juara Liga Super, perlu memenangi perlawanan ini bagi membuktikan yang misi mereka memburu kejuaraan liga musim ini bukan sekadar angan-angan kosong.
Bagaimanapun di atas kertas, kelebihan berpihak kepada JDT yang disokong skuad mantap hasil bimbingan ketua jurulatih Mario Gomez sejak musim lalu.
Prestasi Selangor sebaliknya masih menjadi tanda tanya kerana mengalami perubahan besar baik ketua jurulatih mahu pun barisan pemain-pemainnya.
Kemampuan Zainal Abidin Hassan yang menggantikan Mehmet Durakovic selepas pengendali itu membantu Selangor menjulang Piala Malaysia, terus menimbulkan persoalan.
Namun ia juga boleh dianggap satu kelebihan buat Selangor bagi memerangkap JDT sekali gus melebarkan rekod kejuaraan tertinggi Piala Sumbangsih kepada sembilan kali.
Piala Sumbangsih mula diperkenalkan dalam Liga Malaysia pada musim 1985, tetapi perlawanan berkenaan diadakan pada 31 Disember 1984.
Ketika itu Juara Piala Malaysia 1984 (Selangor) berdepan Pahang, naib juara Piala Liga 1984 (kerana Selangor turut menjuarai liga pada tahun 1984).
Format itu berlangsung sehingga musim 1992 tetapi ditukar pada tahun berikutnya di mana juara Piala Malaysia bertemu juara Piala FA, atau naib juara jika pemenangnya adalah pasukan yang sama.
Namun pada musim 2011, Piala Sumbangsih kembali mengikut format lama di mana juara Piala Malaysia bertemu juara Liga Super. Piala Sumbangsih dikira sebagai perlawanan liga sejak tahun 2002 tetapi kembali dianggap perlawanan berasingan pada tahun 2004 dan 2012.
Sumber : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan