Sabtu, 30 Januari 2016

TMJ ulas tentang politik, FAM dan perkara yang libatkan bolasepak

Dipetik dari laman rasmi facebook Johor Southern Tigers yang bertajuk 'POLITIK, FAM DAN PERKARA MELIBATKAN BOLASEPAK'

Selamat petang kepada sekalian rakyat Johor, penyokong JDT dan peminat bola sepak Malaysia.

Saya percaya bahawa JOHOR Southern Tigers telah memaparkan video saya semalam yang mengatakan bahawa 'Semakin anda bertambah bijak, semakin kurang anda bercakap'. Rakaman video tersebut adalah satu cara bagaimana saya membalas kritikan sesetengah pesaing saya dan beberapa kumpulan negatif.

Saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengetengahkan beberapa perkara-perkara berkaitan politik, FAM dan bola sepak.

POLITIK

Apabila saya menyuarakan perkara tentang politik, anda perlu memahami bahawa ianya bukan untuk diri saya. Ia tidak pernah bersifat peribadi. Ia sentiasa untuk rakyat. Saya tidak boleh menafikan bahawa saya amat mengambil berat tentang keadaan politik di negara ini. Rakyat perlu turut serta untuk menjadikan negara ini tempat yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Saya amat  menjaga kebajikan rakyat Johor dan juga rakyat Malaysia yang lain. Terdapat beberapa pihak yang cuba sedaya upaya untuk mendiamkan saya. Tetapi berada di kedudukan saya, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyuarakan pendapat ikhlas saya untuk kebaikan negeri tercinta dan juga negara.

Apabila saya menyuarakan pendapat, ia tidak bertujuan mencetuskan ketegangan dengan Kerajaan Persekutuan tetapi ia adalah dengan niat untuk bekerja bersama-sama menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak perlukan sebarang undi. Saya hanya seorang putera yang sayangkan rakyat dan apa yang saya katakan atau lakukan, adalah untuk kesejahteraan mereka.

Dengan rendah diri, saya ingin memberi nasihat untuk Kerajaan, langkah pertama dalam usaha menambah baik sistem adalah dengan mengeluarkan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka. Negara kita memerlukan menteri bijak yang boleh berkhidmat kepada rakyat, bukan berkhidmat untuk menampung poket mereka sendiri. Saya berdoa agar keadaan dan kesedaran politik di negara ini akan diperbaiki untuk manfaat rakyat.

Saya berjanji bahawa saya akan terus bersuara untuk rakyat dan bukannya untuk mencetuskan ketegangan tetapi bekerja bersama-sama dan memperbaiki bahagian-bahagian tertentu yang masih lemah kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota untuk berkhidmat kepada rakyat Johor.

PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)

Untuk memastikan mana-mana organisasi berjaya, kita perlu bersikap fleksibel dalam membuat sesuatu keputusan demi kepentingan bolasepak Malaysia. Baru-baru ini, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan agar Syahrul Azwari yang ingin bermain bersama Sarawak melaporkan diri ke pasukan Kelantan. Undang-undang FAM mengatakan semua pemain Harimau Muda sepatutnya pergi ke negeri masing-masing. Bagi pandangan saya, undang-undang ini sudah tidak lagi relevan oleh kerana negeri masing-masing tidak mengeluarkan dana untuk pembangunan pemain-pemain tersebut sebaliknya FAM yang membangunkan pemain Harimau Muda. Jadi, apabila pemain tersebut telah tamat kontrak, mereka berhak untuk memilih pasukan mana yang mereka mahu bermain. Kamu sibuk hendak menuju ke arah profesional tetapi masih ada pihak atasan yang memaksa pemain untuk bermain dalam pasukan yang mereka tidak mahu bermain.

FAM perlu lebih konsisten dalam membuat keputusan yang sewajarnya dan ia akan memberi keuntungan kepada semua pasukan yang bertanding dan bukannya disebabkan oleh kerana pihak atasan yang membuat keputusan terhadap negeri mana yang perlu dipilih. Tidak boleh ada sikap kepentingan peribadi. Pihak atasan FAM perlu fokus membantu bolasepak tanahair, bukannya menjadi beban kepada bolasepak tanahair dan jangan memegang jawatan tinggi dalam FAM semata-mata untuk mendapatkan pendapatan tambahan seperti menjual tiket, berkongsi gaji dengan jurulatih kebangsaan, komisen dari penaja-penaja liga dan tiket percuma untuk ahli keluarga melancong ke luar negara. Perkara korupsi ini harus dihentikan dengan segera. Orang atasan seperti Naib Presiden juga tidak boleh campur tangan memilih pengadil tertentu dalam perlawanan yang melibatkan negeri mereka. Ini adalah nasihat saya yang ikhlas. Jikalau FAM benar-benar hendak memajukan bolasepak tanahair, hentikan budaya korupsi dan angkuh.

PERKARA MELIBATKAN BOLASEPAK

Bolasepak sepatutnya menyatupadukan rakyat bukannya memecahbelahkan rakyat. Apabila anda berpecahbelah dan bergaduh dalam media sosial, anda bukan sahaja membuatkan sesetengah individu dapat lari dari isu yang lebih besar dalam negara, tetapi anda juga telah menunjukkan kelemahan kaum Melayu. Ianya seolah-olah "kami lebih suka membunuh antara satu sama lain daripada bersatu dan memajukan sesuatu". Saya ingin mengingatkan semua laman media sosial termasuk dari Johor agar menghormati antara satu sama lain. Jangan sampai kita terjerumus dalam permainan politik yang memecahbelah dan menguasai pemikiran kita.

Kepada semua penyokong bolasepak Johor dan pasukan yang lain harus sentiasa menghormati antara satu sama lain dan jangan beri tumpuan kepada provokasi-provokasi yang boleh memecahbelahkan rakyat. Sebagai seseorang yang cintakan bolasepak, saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan-pasukan yang bertanding dalam negara. Untuk sekian kalinya tetapi bukan yang terakhir, maklumat ringkas kepada semua penyokong-penyokong JDT yang saya hormati dan kasihi, bezanya antara saya dan sesetengah pesaing saya adalah saya di sini bukan untuk menjadi popular, saya berada di sini untuk mencapai kejayaan.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget