Namun selepas kerja ubah suai stadium keramat Kelantan itu dimulakan pada Khamis, rata-rata penduduk di Kota Baru yang juga penyokong tegar TRW berterima kasih di atas transformasi yang dilakukan usahawan kosmetik terkemuka berkenaan.
Seorang pemandu teksi, Halim Mohd Zain, 45, berkata keputusan Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida untuk menaja Kelantan hadir tepat pada masanya.
"Kita berterima kasih kepada Datuk Vida kerana sudi mengubah suai stadium Kelantan. Lagipun keadaan stadium nampak terlalu daif lebih-lebih lagi selepas dilanda banjir pada tahun lalu.
"Jadi ia perlu dibaiki dengan segera kerana sudah lama tiada sebarang kerja pengubahsuaian dilakukan. Sekurang-kurangnya ia akan memberi keselesaan kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di stadium itu," katanya.
Jelas beliau lagi, kerja penyelenggaraan di bahagian tandas perlu diberi keutamaan kerana keadaan tandas yang agak kotor seolah-olah kelihatan sudah terlalu lama tidak dibersihkan.
"Setiap kali saya datang tengok perlawanan di stadium, saya akan cuba tahan untuk elak buang air kecil. Saya tak sanggup masuk ke dalam tandas. Boleh dikatakan tandas di sini paling teruk berbanding stadium lain di negara ini," katanya.
Sementara itu, Muhammad Amirul Hadi, seorang pekerja di sebuah hotel di sini berkata beliau tidak sabar untuk menanti stadium tersebut dicat sepenuhnya dengan warna merah jambu.
"Nak tak nak kita kena terima perubahan pada stadium tersebut. Kalau tengok dalam beberapa gambar yang viral nampak macam stadium bertaraf dunia.
"Saya pun tak sabar nak tengok wajah baharu stadium itu dengan warna merah jambu. Apapun kita kena tunggu sehingga stadium ini selesai dicat sepenuhnya," kata pemuda berusia 26 tahun itu.
Difahamkan kerja mengecat bahagian dalam stadium termasuk pagar dan juga kerusi sudah dimulakan pada Khamis.
Kerja-kerja mengecat bahagian luar akan dilakukan sebaik sahaja kawasan dalam stadium siap.
Kira-kira 300 tin cat yang ditempah khas dari sebuah kilang di Kuala Lumpur akan digunakan bagi mengecat bahagian dalam dan luar stadium tersebut.
Vida akan melakukan tinjauan ke stadium tersebut pada petang Jumaat untuk memantau kerja-kerja mengecat dan baik pulih yang dikendalikan Syarikat Impian Berkat Trading, kontraktor yang dilantik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
"Saya akan pantau terutamanya kualiti dan warna cat. Sebelum ini kilang cat susah nak hasilkan warna shocking pink yang saya nak," katanya.
Sumber : mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan