Perkara ini disuarakan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah kerana Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA).
Situasi terbaharu ini turut meresahkan sebahagian besar penyokong tegar negeri itu yang melihat persiapan pasukan Kedah sedikit terjejas dan ibarat telur di hujung tanduk jika berlaku pertukaran jawatan Presiden KFA dalam masa terdekat.
"Bab politik kita letak ke tepi dahulu dan pihak kami melihat apakan pro dan kontra terhadap skuad Hijau Kuning. Setakat ini, persiapan pasukan berjalan penuh rapi dan tersusun.
"Menteri Besar sekarang sanggup turun padang mencari dana menyiapkan pasukan bagi menghadapi kempen baharu Liga Malaysia 2016.
"Pasukan kini sedang menyasarkan nilai tajaan RM30 juta dan ia melitupi perbelanjaan pasukan utama, Liga Presiden dan peringkat akar umbi.
"Saya akui politik Kedah agak bergelora dan jika Menteri Besar bertukar maka pucuk pimpinan KFA juga berkemungkinan bertukar," katanya kepada Sinar Harian.
Ketika diajukan persoalan apakah masalah utama jika keadaan ini berlarutan dan menjejaskan imej pasukan, Nor Hasmadi tidak menafikan perkembangan mutakhir ini.
"Kita mungkin akan kehilangan penaja besar yang selama ini bersama Kedah. Malah, kita berjaya mendapat pemain import berkualiti berbanding musim sebelum ini.
"Musim ini juga Kedah membawa masuk pemain lokal yang mempunyai nama besar di Malaysia. Kita bimbang, jika keadaan yang makin terumbang-ambing ini gagal diselesaikan segera, masalah baru akan muncul," katanya mendedahkan sasaran utama KFA musim ini adalah mahu Kedah merangkul Piala Malaysia.
Beliau menambah, Mukhriz diibaratkan pemimpin yang terbaik pernah menguruskan Kedah dan penggantinya sukar dicari ganti.
"Kedah ibarat anak kehilangan bapa dan betul kata pepatah lama, patah tumbuh hilang berganti. Cuma, Mukhriz merupakan individu tepat yang layak menguruskan KFA setakat ini," katanya.
Sumber : sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan