Sabtu, 16 Januari 2016

Pemain import kembali perkuat Melaka United

SETELAH enam tahun beraksi tanpa kehadiran pemain import, kembalinya Melaka United ke persada Liga Perdana musim ini akan menyaksikan empat awang import turut menggalas cabaran.

Keempat-empat mereka - pemain kelahiran Montenegro, Balsa Bozovic dan Ilija Spasojevic; bekas pemain tengah pasukan Bawah 21 Tahun Sweden, Labinot Harbuzi serta bekas pemain pertahanan Suwon FC dari Korea Selatan, Shin Jae-pil - sudah pun memulakan latihan bersama Melaka United, termasuk turut serta dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang diadakan.

Kehadiran Spasojevic selaku penyerang utama Melaka United sedikit sebanyak telah meningkatkan keyakinan peminat terhadap kemampuan pasukan bersaing musim ini.

Masakan tidak, sebagai pemain yang telah membantu kelab Persib Bandung menjuarai Piala Presiden 2015 dengan mengalahkan Sriwijaya FC, beliau turut dinobatkan sebagai penyerang terbaik kejohanan.

Bersama rakan senegara Bozovic, iaitu bekas pemain Kelab Persela Lamongan, tugas menggempur gawang lawan pastinya akan disandarkan pada kemampuan mereka.

Buru pemain tengah, penyerang

Selain empat awang import ini, beberapa pemain tempatan juga telah berhijrah ke Melaka musim ini termasuk dua bekas pemain Pahang, Mohammad Abdul Aziz Ismail dan R Surendran serta bekas pemain DRB-Hicom, Ahmad Shahir Ismail.

Menjelang sepak mula Liga Perdana bulan hadapan, kini cuma tinggal dua slot daripada 25 pemain sahaja yang belum diisi.

Ini disahkan Pengurus, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, yang berkata, Melaka United kini sedang mencari seorang lagi pemain tengah dan seorang penyerang bagi melengkapkan pasukan.

“Kita jangka akan dapat lengkapkan pasukan dalam sedikit masa lagi dan kesemua pemain akan diperkenalkan kepada umum sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Kenal pasti kelemahan

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, dua perlawanan persahabatan menentang kelab Vietnam baru-baru ini sedikit sebanyak telah membantu pengurusan pasukan mengenal pasti beberapa kelemahan.

Ini termasuklah ketahanan dan kecergasan pemain serta persefahaman sepasukan, terutama antara pemain import dan pemain tempatan.

Menurutnya, beliau yakin beberapa siri perlawanan yang diatur sebelum saingan Liga Perdana bermula akan dapat membantu mempertingkatkan persefahaman ini.

“Cabaran berat menanti Ketua Jurulatih (Mat Zan Mat Aris) untuk membentuk persefahaman ini. Melihat kepada keadaan kini, saya masih belum berpuas hati dengan kadar persefahaman antara pemain,” katanya.

Semasa lawatan ke Vietnam baru-baru ini, Melaka United tewas dalam kedua-dua perlawanan persahabatan yang diadakan, di mana mereka tewas 0-2 di tangan Ho Chi Minh FC dan 0-4 di tangan Dong Tham FC.

Selain itu, empat perlawanan menentang pasukan Liga FAM turut diatur, termasuklah menentang Kuantan FC di Pahang serta PDRM, Sime Darby dan Penjara di Melaka.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget