Isnin, 18 Januari 2016

'Jodoh' belum terlerai

KUALA LUMPUR: 'Jodoh' antara pemilik syarikat D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dengan pasukan Selangor masih belum terlerai sepenuhnya.

Ia berikutan usahawan produk kesihatan dan kosmetik itu mengesahkan akan mengadakan perbincangan sekali lagi dengan pengurusan pasukan The Red Giants dalam masa terdekat bagi mendapatkan kata putus berkenaan penajaan.

Sambil mengakui sedih dengan tindak balas yang diberikan penyokong Selangor, Aliff Syukri menjelaskan dia mungkin terpaksa menaja pasukan lain sekiranya gagal mendapat keputusan positif dengan Selangor.

"Semangat saya (mahu menjadi penaja) berkurang, tetapi saya mungkin akan jumpa mereka (Selangor) dalam masa terdekat. Mungkin Rabu nanti ada jawapannya.

"Datuk Seri Noh Omar (Pengerusi Barisan Nasional Selangor) pun ada hubungi saya dan melahirkan rasa simpati. Sebab saya orang Selangor dan kenapa tidak diberi peluang untuk bantu pasukan sendiri.

"Untuk menjadi penaja, sudah tentu saya mahu pasukan yang mempunyai kaitan dengan saya seperti Selangor iaitu negeri yang menjadi tempat tinggal saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aliff Syukri sebelum ini sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Red Giants, namun tindakannya untuk menaja juara Piala Malaysia itu mendapat tentangan daripada penyokong Selangor selepas dikatakan mengenakan syarat tidak munasabah.

Mengulas mengenai syarat yang dikenakan, Aliff Syukri berkata betapa ia masih dalam perbincangan dan keputusan muktamad belum dicapai sepenuhnya. "Macam saya cakap, benda ini masih dalam perbincangan, saya tidak hebohkan kepada sesiapa pun (berkenaan syarat) itu dan persetujuan pun masih belum dicapai," katanya.

Ditanya mengenai khabar angin beliau akan berbincang dengan naib juara Piala Malaysia Kedah, Aliff Syukri berkata: "Dengan Kedah saya tidak tahu lagi, tapi pilihan terakhir jika Selangor macam ini (tidak jadi), mungkin saya akan pergi (taja) negeri lain."

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget