Sabtu, 16 Januari 2016

JDT berlepas ke Bangkok bagi aksi perlawanan persahabatan pramusim

Juara Piala AFC, Johor Darul Ta'zim (JDT) berlepas ke Bangkok hari ini bagi aksi perlawanan persahabatan pramusim sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Super yang bakal membuka tirainya pertengahan bulan hadapan.

Selain itu, kehadiran skuad Harimau Selatan ke bumi Gajah Putih itu juga adalah sebagai aksi pemanas badan menjelang pertemuan dengan kelab Liga Thailand, Muangthong United dalam perlawanan kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL).

Pada aksi pramusim itu, JDT dijadual bertemu Chonburi, pasukan yang turut beraksi dalam liga elit Thailand esok, sebelum beradu tenaga dengan pasukan dari divisyen satu Liga Thailand, Big Bang Chulalongkorn University FC, Selasa depan.

Dua aksi ini pastinya memberi peluang kepada pengendali JDT, Mario Gomez, untuk menyusun perancangan terbaik dan menampilkan kombinasi lebih segar supaya pasukan itu mampu merencana kemenangan.

Pastinya kemenangan akan menyuntik semangat barisan skuad Harimau Selatan ini dan sekali gus menambah keyakinan buat pasukan itu menjelang aksi menentang Muangthong United, pada 2 Februari ini.

Pemergian pasukan JDT ke Bangkok itu diumumkan menerusi akaun pasukan berkenaan, Johor Southern Tigers, hari ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT turut mencemar duli berangkat ke Thailand menerusi penerbangan berasingan bagi menyaksikan aksi persahabatan skuad Harimau Selatan itu

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget