Sabtu, 9 Januari 2016

Import Perak enggan beraksi persahabatan kerana keletihan

Perak tidak dapat menguji pemain import keduanya dari Brazil, Elias Fernandes de Oliveira untuk aksi persahabatan menentang DRB Hicom FC di Stadium Perak di sini, malam ini.

Ini berikutan penyerang yang dilahirkan di Sao Bernardo do Campo itu baharu tiba di sini, kelmarin dan enggan beraksi kerana masih keletihan.

Difahamkan Oliveira, 24, pernah beraksi untuk kelab Corinthians dari tahun 2010 hingga 2012, sebelum berpindah ke Parana pada 2013.

Penyerang lincah itu kemudian beralih angin apabila ditawarkan menyertai Bangu pada 2014 sebelum memutuskan berkhidmat dengan Busan IPark di liga Korea Selatan pada tahun lalu.

Perlawanan persahabatan menentang DRB Hicom itu adalah aksi rasmi kedua pasukan The Bos Gaurus untuk menguji pemainnya. Sebelum ini Perak mengadakan ujian dengan FELCRA FC ketika meraih kemenangan 2-1.

Apa yang pasti perlawanan ini memberi peluang kepada ketua jurulatih, Syamsol Saad menguji kemampuan pemain import Uzbekistan, Vokhid Shodiev sepenuhnya.

Pemain berusia 29 tahun itu yang menjadi import kedua selepas Thiago Junio Aquino hanya beraksi selama hampir 30 minit ketika bertemu FELCRA.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget