Sabtu, 9 Januari 2016

Fadhli Shas kini cergas

Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Fadhli Shas menzahirkan kelegaan selepas kecederaan serius dialami sejak Oktober lalu sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk memulakan kempen musim baru Liga Malaysia (Liga M).

Pemain kebangsaan itu terpaksa berehat panjang dan terlepas membantu skuad Harimau Selatan pada kempen Piala Malaysia akibat kecederaan dialami ketika bersama skuad Harimau Malaya menentang Laos pada aksi persahabatan di Stadium Thupatemi, Bangkok Thailand, Oktober lalu.

Apapun, bekas pemain Harimau Muda yang menyertai Johor DT sejak 2014 tampak lega selepas kecederaan panjang itu sudah pulih sepenuhnya dan kini mula menjalani latihan untuk membuat persiapan mengharungi saingan Liga Super yang menyingkap tirai, bulan depan.

“Tiada lagi keresahan selepas pulih daripada kecederaan. Ia memberi kekuatan kepada saya untuk memperkemaskan lagi tahap kecergasan bagi membuat persediaan kempen baru liga.

“Tidak dinafikan alatan serba canggih dan moden untuk proses pemulihan yang ada di Pusat Latihan Padang Seri Gelam beri kesan positif bagi saya menjalani proses pemulihan dengan cepat,” katanya.

Mengulas untuk kembali berada di tahap permainan terbaik, Mohd Fadhli mengakui perlu bekerja lebih keras lagi untuk mendapatkan kembali tempat dalam kesebelasan utama dan menyifatkan persaingan sihat membabitkan kesemua pemain dan bergantung kepada keputusan ketua jurulatih, Mario Gomez untuk memilih barisan pemain terbaik.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget