Selasa, 19 Januari 2016

Azrif masih pemain Red Giants 2016 : Pengurus pasukan

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ingin menegaskan bahawa pemain pertahanan kanan, Mohd Azrif Nasrulhaq masih lagi pemain Pasukan Liga Super Selangor 2016 dan TIDAK BERSETUJU dengan sebarang percubaan untuk membawa beliau menyertai pasukan lain.

FAS mengakui menerima surat permohonan Mohd Azrif semalam untuk pelepasan kontrak bernilai RM 960,000 namun terpaksa menolak atas beberapa faktor.

Azrif telah menandatangani kontrak lanjutan beliau sehingga 30 November 2017 pada minggu lalu dan telah pun menandatangani Borang C03 iaitu bersetuju untuk didaftarkan sebagai pemain Pasukan Selangor dan turut didaftarkan untuk Piala AFC.

Selain itu, Mohd Azrif adalah pemain yang dilatih dari program pembangunan bolasepak Selangor dan juga permohonan ini hadir pada saat-saat akhir yang menyulitkan pasukan untuk mencari pengganti.

Oleh yang demikian, adalah satu situasi yang sukar untuk bersetuju dengan permohonan tersebut yang pasti menjejaskan persiapan pasukan keseluruhannya.

Jadi secara teknikalnya Mohd Azrif masih lagi pemain Selangor dan menjadi kesalahan jika beliau menandatangani kontrak dengan pasukan lain sewaktu kontraknya masih belum ditebus.

Namun berdasarkan keadaan semasa, jalan paling baik adalah dengan merujuk kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia bagi menuntut hak kami dan agar perkara ini diambil perhatian dengan lebih serius.

Saya berharap kenyataan ringkas ini akan menjawab tanda tanya penyokong setia kami dan meyakini pengurusan Pasukan Selangor sentiasa melakukan yang terbaik untuk mengekalkan keharmonian pasukan.

Bersama-sama ini disertakan salinan dokumen yang mengesahkan perkara tersebut.

Sekian.

Merah Kuning Lambang Kebanggaan
Amirudin Bin Shari
Pengurus Pasukan Selangor Darul Ehsan

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget