Pelantikannya diumumkan oleh pasukan berkenaan menerusi akaun Facebook rasminya, Johor Souther Tigers, malam tadi. Edwards ketika mengulas pelantikannya menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar.
Pernah menyarung jersi pasukan Johor pada tahun 1991 hingga 1992, dia mengibaratkan kehadiran semulanya sebagai 'sirih pulang ke gagang'. Malah, Alistair bertekad menggunakan segala pengalaman serta kepakaran dimilikinya bagi membantu skuad Harimau Selatan mencapai kejayaan lebih gemilang di masa depan.
"Saya rasa seperti pulang semula ke rumah kerana saya sudah menghabiskan masa selama dua tahun yang indah di sini. Ramai anak Johor masih mengingati kenangan lama," katanya yang dipetik dalam laman sosial rasmi JDT.
"Bagi saya ia benar-benar seperti mimpi dapat mencapai ke peringkat ini di dalam kerjaya saya. Dengan pengalaman penuh saya menyusun atur semula bola sepak Australia, kini saya kembali untuk membantu melaksanakan projek yang sama untuk JDT.
"Kembali ke Johor umpama satu impian bagi saya dan ia adalah satu penghormatan besar apabila TMJ meminta saya membantu beliau dalam projek besar ini," katanya.
Edwards dalam pada itu turut memuji tindakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mewujudkan jawatan Pengarah Sukan yang disifatkan satu lagi peringkat profesionalisme yang mahu diserapkan ke pasukan itu.
"Bagi saya, ia satu lagi platform bagi saya untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran saya dengan pasukan yang hebat ini.
"Apa yang TMJ buat sekarang sudah menjadikan JDT sebuah kelab yang paling profesional dan kita sedang menumpukan lebih ke dalam bidang perniagaan, tambahan lagi saya mempunyai Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA).
"Sebelum ini saya pernah bekerja dengan pasukan kebangsaan Australia. Dengan pengalaman yang saya ada, saya berperanan untuk berkongsi dan melakukannya bersama-sama.
"Saya akan terbabit dalam pemindahan urusan, rundingan dan segala-galanya tetapi pada masa ini kita (JDT) mempunyai ketua jurulatih untuk pasukan, dan itu adalah pasukannya, Jadi peranan saya adalah untuk membantunya hanya dalam pengurusan."
Mengulas mengenai kemudahan dan misi JDT, Edwards berkata pasukan itu setaraf pasukan Eropah dan Amerika Selatan. "Padang latihan JDT juga hebat. Saya pernah bermain di Eropah, dan juga terbabit dengan kelab terkemuka di Australia, jadi apa yang kita ada di sini dan TMJ ingin cuba lakukan adalah untuk memastikan bahawa kita mempunyai persekitaran bola sepak yang paling profesional.
"Jadi pemain boleh menumpukan perhatian ketika bermain bola sepak. Apa yang berlaku ketika ini sebenarnya satu pembaharuan dengan pelbagai rancangan di masa hadapan, penubuhan akademi dan stadium yang baru menjadikan ia sesuatu yang sangat menarik.
"Edwards dalam pada itu turut mengakui terharu apabila mengetahui TMJ pernah melihatnya beraksi ketika dia masih menyarung jersi Johor.
"Baginda memberitahu saya bahawa apabila saya bermain di sini pada tahun 1991, beliau baru berusia sembilan tahun dan baginda datang untuk menonton saya bermain di stadium dan sangat teruja dengan bola sepak ketika itu.
"Dan baginda dapat merasakan detik kemenangan berganda kami ketika itu, yang amat bererti buat rakyat Johor."
Selain Johor, Edward juga pernah beraksi bersama Selangor dan Sarawak dan menjadi Pengarah Teknikal kelab Real Mulia pada tahun lalu.
Selanjutnya : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan