Pasukan juara Liga Perdana 2015 Kedah akan menentang Selangor yang melonjak ke tempat kedua Liga Super kerana kelebihan teknikal, pada perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.
Tapi tidak boleh dinafikan kedua-dua pasukan ini layak bertemu di pentas final susulan persembahan konsisten serta kekuatan mental yang terpuji.
Bagaimanapun kekuatan mental tidak semestinya dimiliki semua individu atau pasukan. Kita lihat contoh FELDA United yang begitu komited serta fokus apabila menentang pasukan juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada suku akhir.
Tapi mereka gagal menggunakan kemenangan itu sebagai batu loncatan apabila tewas kepada Kedah pada separuh akhir.
Persoalan kekuatan mental akan sekali lagi menjadi buah mulut ramai kerana kemenangan ke atas Johor DT sepatutnya memberikan kelebihan psikologi kepada FELDA tapi sebaliknya yang berlaku.
Kedah pula menunjukkan tiada jurang di antara pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana. Kedah mempersembahkan sikap riang apabila pasukan Hijau Kuning itu beraksi dengan corak kebebasan yang menarik tanpa menghiraukan kekuatan atau kelemahan lawan. Ada yang menganggap Kedah beraksi tanpa sebarang tekanan.
Tapi jelas kesegaran mental serta pendekatan positif membolehkan Kedah mengatasi situasi perlawanan pertama separuh akhir walaupun ketinggalan dua kali di tempat lawan.
Tekanan hanya akan menelan kita sekiranya minda lemah dan pemikiran tercabar.
Selangor pula menunjukkan semangat juang dengan kekuatan mental yang harus dipuji. Perlawanan separuh akhir pertama di Kuantan menunjukkan mereka memiliki keyakinan tinggi apabila bertahan menepis serangan demi serangan Pahang.
Pada perlawanan kedua di Shah Alam, Selangor seakan-akan sudah menang dan layak ke akhir dengan hanya perlu memenuhi syarat beraksi 90 minit. Dari sepak mula hingga wisel penamat, jelas pemain pemain Selangor begitu yakin serta beraksi dengan 'controlled aggression' sehingga orang besi skuad Tok Gajah Dickson Nwakaeme seakan-akan melanggar tembok setiap kali menerima bola.
Kini hanya tinggal satu lagi perlawanan untuk Nazmi Faiz Mansor melengkapkan perubahan daripada budak nakal bola sepak Malaysia kepada seorang pemain tengah yang menyeluruh. Potensi serta kebolehan pemain tengah ini tidak dinafikan tapi hanya sikap serta perangainya yang mencurigakan. Kematangan persembahan Nazmi dalam dua perlawanan menentang Pahang meletak pemain tengah itu hanya di belakang Safiq Rahim sebagai perancang terbaik di Malaysia.
Sekiranya, Kedah serta Selangor beraksi seperti mana dihidangkan sebelum ini, maka kita akan terhibur dengan perlawanan akhir yang mencorakkan serangan bertubi-tubi. Kelihatan kedua-dua pasukan ini beraksi untuk menghiburkan dan semoga kita dapat lihat jumlah gol yang banyak. Dan selepas gagal dengan ramalan keputusan perlawanan separuh akhir maka tiba masanya untuk dihiburkan oleh dua pasukan yang sememangnya wajar bertanding untuk merebut gelaran juara Piala Malaysia 2015.
Sementara itu, amat memuaskan hati apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekurang kurangnya melantik seorang jurulatih yang memenuhi kriteria serta mempunyai kelayakan. Frank Bernhardt berpengalaman dalam membimbing pasukan pembangunan di peringkat kelab bersama St Pauli. Beliau pula mempunyai pengetahuan serta pengalaman melatih pasukan pembangunan antarabangsa bersama Estonia.
Pihak FAM yang kali ini lebih berwaspada dengan pelantikan jurulatih Projek Sukan SEA 2017 sudah mengurangkan risiko kegagalan dan ini langkah positif dalam memberi nafas baru kepada bola sepak Malaysia. Kejayaan itu bukan kerana membuat pelantikan yang tepat tapi disebabkan dapat mengurangkan beban serta tekanan ke atas badan induk.
Sebagai contoh, perlantikan jurulatih juara dunia 2002 Felipe Scolari untuk mengendali Brazil ke Piala Dunia 2014 dianggap keputusan tepat mengikut kriteria serta kelayakannya, tapi Brazil tidak capai matlamat diharapkan. Kegagalan itu adalah tanggungjawab individu ditugaskan mengendalikan pasukan dan bukannya golongan yang melantik beliau.
Justeru, kita berharap FAM juga akan lebih berwaspada apabila melantik jurulatih pasukan kebangsaan.
Sumber : Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan