Sabtu, 12 Disember 2015

Siapa juara Piala Malaysia pilihan jurulatih?


Selangor dan Kedah yang akan bertarung di Stadium Shah Alam esok dalam saingan terakhir Piala Malaysia 2015 mempunyai persamaan tersendiri - mereka bukan pasukan pilihan.

Bagaimanapun prestasi cemerlang yang ditunjukkan mereka di semua peringkat berjaya mengetepikan pasukan lain, termasuk skuad dianggap gergasi di arena bola sepak tanah air.

Selangor misalnya, mengatasi Kelantan di saingan peringkat kumpulan, Sarawak di suku akhir dan Pahang di separuh akhir membolehkan pasukan hayat Misi 33 Gergasi Merah itu kembali bernyawa.

Kedah pula membenam PKNS FC di peringkat suku akhir dan Felda United di separuh akhir.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir Piala Malaysia ialah pada edisi 2008 dan kemenangan berpihak kepada skuad Hijau Kuning.

Bagi bekas jurulatih ATM, B Sathinathan, Kedah dan Selangor dilihat seimbang dari aspek kekuatan berpasukan kerana tiada pemain dengan nama besar disenaraikan.

Bagaimanpun katanya, kelebihan mungkin memihak kepada Selangor kerana perlawanan berlangsung di gelanggang mereka di Stadium Shah Alam.

"Tetapi kita tidak boleh menafikan kekuatan Kedah yang mempamerkan semangat berpasukan tinggi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Secara taktikalnya kedua-duanya seimbang dengan kekuatan jentera tempatan dan import. Mereka membuktikan keupayaan tersendiri, mereka menang (ke final) bukan kerana nasib.

"Perlawanan akhir ini akan berlangsung sengit dan saya yakin keputusan berakhir dengan perbezaan jaringan kecil, atau mungkin juga penentuan terpaksa dibuat melalui sepakan penalti," katanya kepada Malaysiakini.

Apabila ditanya mengenai pasukan berpotensi besar menjadi juara, Sathinathan memilih Selangor.

Sementara itu, bagi pengendali sementara pasukan kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, beliau menyifatkan perlawanan akhir kali ini di luar jangkaan.

Tanpa memihak kepada mana-mana pasukan, Kim Swee berkata, hanya pasukan yang berjaya mengelak kesilapan akan mucul sebagai juara.

"Kedah perlu mengawasi beberapa pemain Selangor seperti Nazmi Faiz Mansor dan Andik Vermansyah, manakala Selangor pula mesti mengawasi Badrol Bahktiar dan penyerang import Kedah," katanya.

Menurut Kim Swee, kekuatan Selangor dan Kedah boleh dikatakan seimbang walaupun pada awalnya kedua-dua pasukan itu bukan pilihan ramai ke final.

"Tetapi kedua-duanya membuktikan bahawa kesungguhan dan semangat berpasukan membawa mereka ke perlawanan akhir," katanya.

Bagi bekas pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah pula, skuad Helang Merah tetap menjadi pilihan hati beliau.

"Kebangkitan Kedah dan kemampuan mereka menjaring banyak gol dalam perlawanan sebelum dilihat menjadi kelebihan.

"Walaupun Selangor ada kelebihan bermain di tempat sendiri, Kedah lebih mendominasi dari aspek permainan berpasukan dan kemampuan menyempurnakan penyudah (gol)," katanya yang mengjaka Kedah menang 2 - 1 ke atas The Red Giants.

Sementara itu, bekas penyerang pasukan kebangsaan yang kini melatih Pahang, Zainal Abidin Hassan, kemenangan mungkin berpihak kepada Selangor dengan keputusan 2 - 1.

"Kedua-dua pasukan ini menyerlah di saat-saat akhir saingan Piala Malaysia.

"Perlawanan esok agak sukar diramal dan saya tidak nafikan kedua-duanya ada kelebihan sendiri," katanya.

Sumber : Malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget