KETIKA seluruh warga Selangor masih meraikan kejayaan pasukan mereka muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-33 selepas menundukkan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam malam kelmarin, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pula berdepan dilema berhubung status jurulatihnya, Mehmet Durakovic.
Sebelum ini, masa depan Durakovic menjadi tanda tanya apabila kontrak bekas pemain skuad Gergasi Merah itu bakal ditamatkan ekoran khabar angin yang mengatakan tugas tersebut mungkin diambil alih jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan musim depan.
Begitupun, Durakovic mula mencuri perhatian apabila beliau berjaya membantu Selangor menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang Piala Malaysia, sekali gus merealisasikan ‘Misi 33’ skuad Gergasi Merah itu.
Difahamkan, pihak pengurusan tertinggi FAS kini berada dalam keadaan tersepit sama ada mahu terus mengekalkan Durakovic yang masih mempunyai baki kontrak setahun ataupun meneruskan perancangan awal menggantikan dengan jurulatih lain.
Menurut sumber dalam FAS, persatuan tersebut sememangnya memiliki perancangan untuk membawa masuk seorang jurulatih berprofil tinggi daripada pasukan Liga Super ke Selangor pada musim depan.
“Memang ada rancangan awal untuk membawa masuk seorang jurulatih baharu untuk mengendalikan Selangor musim depan, malah persetujuan awal sudah dicapai termasuk beberapa pemain dari pasukan Liga Super turut dibawa masuk menyertai Selangor.
“Namun, sekarang pihak pengurusan terpaksa mengadakan perbincangan untuk membuat keputusan dalam masa terdekat memandangkan Durakovic berjaya membimbing Selangor memenangi Piala Malaysia musim ini,” kata sumber tersebut yang enggan namanya disiarkan kepada Kosmo! semalam.
Terdahulu, Durakovic telah menandatangani kontrak tiga tahun bersama Gergasi Merah, namun kedudukannya sebelum ini goyah berikutan kegagalan mencapai sasaran diidamkan.
Bagaimanapun, Durakovic berjaya membantu pasukan mencipta kejutan melangkah ke final kempen Piala Malaysia musim ini serta menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam malam kelmarin, sekali gus melengkapkan ‘Misi 33.’
Dalam perkembangan sama, Presiden FAS, Datuk Seri Azmin Ali mengesahkan, pihaknya akan berbincang mengenai kedudukan Durakovic dalam satu mesyuarat khas dalam tempoh terdekat.
“Biarlah kita meraikan kejayaan Selangor meraih Piala Malaysia pada malam ini (kelmarin) dan saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai kedudukan jurulatih.
“Apa yang pasti, kami akan mengadakan satu pertemuan (menentukan status Durakovic) bagi membincangkan segala hal berkaitan termasuk persediaan menghadapi Liga Super musim depan,” kata Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan