Isnin, 14 Disember 2015

Analisis Final Piala Malaysia 2015

Kekalahan Kedah kepada Selangor 0-2 dalam aksi akhir Piala Malaysia pastinya sukar diterima buat penyokong skuad Hijau Kuning itu. Mereka datang ke Stadium Shah Alam dengan harapan tinggi selepas prestasi cemerlang pasukan itu.

Di sebalik kekalahan itu juga, pemain Kedah menunjukkan persembahan terlalu berbeza berbanding permainan mereka dalam perlawanan sebelum ini.

Kurang melawan, semangat berpasukan luntur dan secara psikologinya mereka kelihatan gugup atau cemas sehingga akhirnya dilihat hilang keyakinan diri.

Walaupun berjaya menguasai bola pada awal perlawanan, Kedah gagal berdepan dengan serangan mengejut pasukan The Red Giants dan akibatnya benteng pertahanan mereka begitu ampuh.

Selepas aksi melonjak secara drastik sebagai status pasukan dari Liga Perdana dan berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan serta menewaskan pasukan lebih popular di peringkat suku akhir dan separuh akhir - Kedah mungkin terlalu selesa dan terlebih yakin.

Kejayaan menumpaskan PKNS FC dan Felda United sebelum ini dilihat menjadi penyebab untuk mereka lebih mendabik dada, malah mereka menunjukkan kemampuan menjaringkan banyak gol.

Namun, aksi malam tadi, seawal lima minit perlawanan anak buah Tan Cheng Hoe gagal memberi tumpuan dan gol dijaringkan Selangor di minit ketiga itu pastinya sukar diterima peminat-peminat mereka yang datang jauh dari utara tanah air.

Selain itu, kombinasi taktikal Kedah juga tiada perubahan - terlalu statik dengan corak permainan mudah dibaca pihak lawan dari awal perlawanan hingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Perbezaan taktikal


Barisan jurulatih sepatutnya sedar perkara itu apabila penyerang harapan mereka, Chidi Edeh sudah dirantai dari awal. Tiada gerakan menarik menarik yang mampu dibuat pemain dari Nigeria itu, begitu juga dengan Badrol Bakhtiar yang kurang menerima bola di posisi kanan serangan.

Sedangkan, rakan-rakan lain pula terlalu mengharapkan sentuhan mereka sehingga tidak mampu untuk mencipta gerakan-gerakan berbeza, Kedah nampaknya tampil menggunakan posisi tengah dengan hantaran pendek untuk melorong bola kepada Edeh.

Hasilnya, mereka banyak dan mudah kehilangan bola. Sebaliknya, di pihak Selangor pujian boleh diberikan kepada pemain pertahanan mereka sehingga penjaga gawang, NorAzlan Razali tidak perlu bekerja keras.

Sayang buat Kedah, keadaan itu terus dibiarkan tanpa perubahan idea menyebabkan pemain lebih banyak menyimpan bola atau lambat membuat hantaran kepada rakan-rakan sepasukan. Helang Merah begitu kaget untuk terbang lebih tinggi.

Mereka akhirnya tergapai-gapai dengan keyakinan tinggi sebelum itu terus hilang atau bergelumang dengan selut dan becak padang.

Keadaan itu memberi ruang untuk Selangor lebih menguasai taktikal tanpa tekanan sekali gus lebih selesa berkampung di kawasan Kedah. Mereka boleh bermain dengan lebih santai khususnya selepas berjaya membolosi gol kedua.

Dengan misi memburu kejuaraan ke-33, Selangor begitu bijak mengambil peluang dengan serangan hendap yang pantas di luar jangkaan jentera pasukan Kedah.

Akhirnya, sebagai orang Malaysia yang penuh dengan luhur budaya ketimuran kita akan cakap "bukan rezeki Kedah kali ini" dan bola itu bulat, sampai bila-bila pun akan terus bulat.

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget