Jumaat, 25 Disember 2015

Sah Diaz kembali awal Januari : Gomez

PENYERANG import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dijangka kembali ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun Harimau Selatan belum mengumumkan senarai pemain bagi menggalas cabaran Liga Malaysia 2016.

Perkara ini dinyatakan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika sesi menjawab pertanyaan penyokong Harimau Selatan dalam wawancara di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini.

“Jorge Pereyra Diaz akan kembali ke JDT awal Januari 2016 melaporkan diri bersama pemain lain untuk perlawanan pramusim,” katanya.

Diaz mengikat kontrak bersama JDT pada Mei 2014 tampil dengan penampilan pertamanya sebagai pemain gantian ketika menentang Pahang aksi separuh akhir Piala FA 2014.

Pemain kelahiran La Rioja, Argentina itu dipinjamkan ke Atletico Independiente  awal 2015 selepas menjaringkan 19 gol dalam 33 penampilan bersama Merah Biru.

PBNJ meminjamkannya ke Independiente sehingga November 2015 kerana mahu pemain berusia 25 tahun itu berada dalam keadaan yang baik dan cergas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez turut mengesahkan kehadiran semula Diaz untuk sesi latihan awal Januari depan.

“Persiapan musim depan akan lebih hebat dan saya mengesahkan Jorge Pereyra Diaz akan menyertai latihan bersama pasukan pada awal Januari nanti.

“Ia bagi menghadapi kempen Liga Malaysia dan persiapan mempertahankan kejuaraan-kejuaraan serta saingan playoff Liga Juara-Juara Asia,” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget