Jumaat, 25 Disember 2015

Kami tawar gaji lebih kepada Syahrul

"KAMI tawar gaji kepada dia lebih daripada syarat ditetapkan." Itu pendedahan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor berhubung tindakan bekas penyerang Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim yang berpaling tadah mengikat kontrak bersama Sarawak bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Ismail merujuk kepada syarat ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada semua persatuan bola sepak negeri yang dikehendaki membayar gaji dengan kenaikan minimum tambahan 30 peratus sekiranya mahu menggunakan khidmat pemain pelapis itu.

Ismail berkata, Kafa enggan lagi bertolak ansur dalam isu itu setelah sedar pihaknya seperti dipermainkan saban tahun setiap kali mahu mengikat pemain Harimau Muda yang dilepaskan ke pasukan negeri kelahiran asalnya.

“Kita tawar gaji kepada Syahrul Azwari lebih tinggi daripada syarat dikenakan FAM. Saya tak mahu sebut berapa dia dapat tetapi jumlah itu lebih daripada ketika dia mewakili Harimau Muda. Malah, kita juga beri peluang kepada pemain tersebut untuk berunding sekali lagi soal gaji bersama Kelantan.

“Bagi saya, Kafa sudah ikut segala peraturan ditetapkan. Kita juga sentiasa merujuk Jabatan Undang-Undang FAM bagi memastikan setiap tindakan kita berlandaskan peraturan semasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, apabila pihaknya memenuhi syarat itu maka Syahrul Azwari sepatutnya bertanggungjawab dengan mengikat kontrak bermain bersama Kelantan untuk tempoh minimum satu musim.

“Saya tak tahu siapa nasihati Syahrul Azwari untuk buat keputusan ini. Saya sudah beri nasihat semasa jumpa dia 7 Disember lalu kerana ini libatkan kerjayanya,” katanya.

Mengulas dakwaan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bahawa mereka menggunakan saluran betul mengikat Syahrul Azwari, Ismail bagaimanapun berkata, beliau kurang faham dengan takrifan persatuan berkenaan mendapatkan tandatangan pemain itu dengan cara tersebut.

“Saya pun tak faham bagaimana Sarawak boleh membelakangi peraturan FAM dalam perkara ini. Bukan sahaja panggilan telefon, malah satu surat pun FAS tak pernah kirimkan kepada kita, jadi di mana sebenarnya saluran yang betul?,” soalnya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget