Sabtu, 11 Februari 2017

TMJ mampu terajui kecemerlangan FAM

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mampu menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke tahap kecemerlangan kerana baginda mempunyai rekod prestasi yang boleh dibanggakan, kata Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub.

"Saya merasa sangat yakin bahawa Tengku Mahkota Johor (TMJ) sewajarnya diberikan peluang untuk menerajui FAM.

"Pilihan saya ini bukan berasaskan saya adalah anak bangsa Johor semata tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya melihat TMJ mempunyai 'track record' yang boleh dibanggakan," kata Salahuddi dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai peminat sukan bola sepak sejak dari kecil lagi, beliau amat berharap agar sukan itu akan mencapai tahap kecemerlangannya seperti pada tahun 1960-an hingga 1980-an.

FAM memerlukan suatu era baru dalam urus tadbir pengurusannya, kata Salahuddin dan menurutnya, ia hanya boleh tercapai dengan memberikan peluang kepada mereka yang benar-benar mampu untuk membawa misi bola sepak negara, bukan sekadar dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa..

Beliau sangat yakin bahawa Tunku Ismail sewajarnya diberi peluang tersebut berdasaran rekod dan prestasi cemerlang pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

"Oleh itu, saya menyeru dan berharap FAM segera menamatkan era yang kontroversi.

"Saya juga berharap agar dapat dielakkan orang-orang politik yang tidak mempunyai integriti daripada menerajui FAM dan berilah peluang itu kepada TMJ," tambahnya.

Sekiranya ini boleh dilakukan, katanya, beliau yakin FAM boleh kembali ke zaman kegemilangannya, malah akan lebih baik lagi seperti melayakkan diri ke Piala Dunia akan datang.

Terdapat banyak nama lain yang dicadangkan untuk memimpin FAM, seperti Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sumber : malaysiakini


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget