Isnin, 13 Februari 2017

Dollah Salleh tidak jangka gawang Pahang bolos empat kali

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui tidak menjangka gawang pasukannya bolos empat kali bolos pada aksi menentang Kedah pada kempen Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada perlawanan tersebut Pahang tewas 4-1, kekalahan yang di luar jangkaan selepas skuad kendalian Dollah itu tampil dengan rentak konsisten dalam tiga perlawanan awal liga.

Dollah berkata, kekalahan tersebut berpunca daripada kelewatan mereka menyekat pergerakan dua tonggak utama Kedah, Baddrol Bakhtiar serta Liridon Krasniqi.

Bekas jurulatih Perlis yang juga pernah membimbing skuad kebangsaan itu menambah, kelewatan mereka mengawal pergerakan dua pemain Kedah itu telah mengakibatkan Pahang gagal me­nguasai permainan, sekali gus mula hilang rentak terutama pada separuh masa kedua.

“Semua serba tidak menjadi, pemain (Pahang) hilang fokus dan saya nampak corak permainan mereka sangat menghampakan. Pemain-pemain juga tidak memberi seperti apa yang saya harapkan.

“Tiga gol Kedah pada separuh masa kedua bukan sahaja berpunca daripada kelemahan pertahanan (Pahang), tapi serangan kami juga lemah.

“Kami juga tidak memberi tumpuan terhadap pergerakan Baddrol dan Liridon. Secara tak langsung, ia memberi kelebihan kepada Kedah untuk menguasai perlawanan,” ujar Dollah.

Kedah yang mendapat sokongan padu daripada penyokong setia mereka telah memecah kebuntuan pada minit-minit terakhir separuh masa pertama menerusi Baddrol.

Kedah terus mempa­mer­kan penguasaan menerusi dua lagi gol yang disudahkan oleh Ken Ilso Larsen pada minit ke-66 dan ke-90, diikuti jaringan Muhammad Farhan Ros­lan pada minit ke-74.

Pahang pula sekadar mampu memperoleh gol sagu hati menerusi penye­rang import dari Brazil, Mateus Alves Leandro pada minit ke-89.

Dollah menambah, kecederaan yang dialami pemain tengah, Kiko Insa juga menyebabkan rentak permainan Pahang menjadi pincang sehingga mengganggu kelancaran serangan.

“Bahagian tengah (Pahang) tidak bermain pada tahap terbaik gara-gara kehilangan khidmat Kiko. Ia menyebabkan pemain-pemain di bahagian sera­ngan tidak dapat menerima hantaran bola dengan tepat.

“Ia telah membuka ­ruang kepada Kedah untuk menguasai bahagian te­ngah dan seterusnya menguasai perlawanan,” katanya.

Sumber : kosmo


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget