Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengharungi cabaran getir dalam berhadapan kelab Gamba Osaka untuk pusingan penentuan kelayakan peringkat Liga Juara-Juara AFC
(ACL) di Osaka pada 7 Februari ini.
Dalam Facebook rasminya - Johor Southern Tigers, pasukan itu menyatakan faktor cuaca sejuk merupakan cabaran utama dihadapi mereka.
"Untuk perlawanan ini, JDT akan mengharungi perjalanan sehala hampir 5,000km untuk bersaing di tempat lawan.
"Faktor cuaca juga bakal memberi cabaran tersendiri untuk JDT kerana di Osaka ketika ini sedang mengalami musim sejuk yang boleh mencecah sehingga suhu 0°C pada waktu malam," jelas kenyataan tersebut.
Justeru, pasukan itu berkata persediaan awal diperlukan bagi menghadapi keadaan cuaca di Osaka.
"Sudah tentu tugas getir ini memerlukan persediaan awal yang amat penting bagi menyesuaikan diri dengan keadaan dan cuaca di Osaka pada ketika ini dalam usaha melakar satu lagi sejarah baru bola sepak tanah air. Luaskan Kuasamu Johor," jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, skuad Harimau Selatan berjaya melangkah ke saingan kelayakan ACL selepas menyingkirkan kelab Thailand, Bangkok United pada 31 Januari lalu dengan keputusan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti.
Perlawanan 7 Februari itu juga menyebabkan aksi Liga Super pusingan ketiga membabitkan JDT dan Kelantan yang dijadual berlangsung semalam terpaksa ditunda ke tarikh lain.
Sumber : malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan