Isnin, 27 Jun 2016

Pemain naturalisasi sertai skuad Sabah

Pemain naturalisasi, Stuart Wark, 27, adalah pemain terbaru diikat Sabah bagi memantapkan pasukan dalam menghadapi baki saingan liga, bermula bulan depan.

Pemain kacukan Scotland dan Malaysia itu dikatakan menandatangani kontrak selama enam bulan bersama Sang Badak, semalam, selepas berjaya memikat panel pemilih pada sesi ujian pemilihan pemain pasukan berkenaan.

Stuart yang turut mampu bermain di posisi tengah juga meledakkan dua gol buat Sabah dalam aksi persahabatan menentang kelab Liga Super, T-Team, di Terengganu, baru-baru ini.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu menjadi pemain kedua diikat Sabah ketika jendela perpindahan pemain dibuka setakat ini, dengan seorang lagi ialah pemain tengah dari Brazil, Everton Souza Santos.

Selain pernah beraksi bersama JDT II, Stuart juga memiliki pengalaman bermain dalam liga Scotland, Australia serta Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi penyerang import, Muamer Salibasic, dikatakan hampir pasti mengikat kontrak bersama Sang Badak.

Pemain kelahiran Bosnia Herzegovina itu dikatakan telah bersetuju dengan tawaran Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan kini hanya menunggu laporan perubatan sebelum menandatangani kontrak.

Keputusan itu dijangka memberi tamparan hebat buat penyerang dari Nigeria, Prince Nnake Tochukwu, yang menghadapi kemungkinan disingkirkan daripada skuad Badak.

Selain Prince Nnake, dua lagi pemain import Sabah yang masih kekal, ialah pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, serta pemain tengah Indonesia, Dedi Kusnandar.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget