Sabtu, 25 Jun 2016

Kembali dari pasukan kebangsaan dengan kecederaan dan tidak cergas

Kecederaan dan keadaan pemain termasuk pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kurang cergas selepas kembali dari pasukan kebangsaan terus mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pemilik Kelab Bola Sepak JDT itu berkata, ramai yang melenting apabila beliau menegur sistem latihan skuad kebangsaan yang perlu diperbaiki.

“Bila saya tegur sistem pasukan kebangsaan tak bagus, semua melenting.

“Saya selalu memberi nasihat berulang kali supaya perbaiki lagi sistem latihan dan barisan kejurulatihan dalam skuad kebangsaan, tetapi dipandang remeh dan masing-masing bodoh sombong serta tidak boleh menerima pandangan dan nasihat,” katanya dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Dalam posting sama, laman sosial berkenaan turut memaparkan maklumat berkaitan pemain pertahanan, Mahali Jasuli yang mengalami kecederaan dalam satu perlawanan untuk tempoh 50 minit bermain mewakili pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, pemain sama tiada kecederaan selepas mengharungi sembilan perlawanan untuk tempoh 515 minit ketika bermain bersama skuad Harimau Selatan.

Tunku Ismail berkata, akhir-akhir ini, menjelma pula segelintir penyokong yang lazimnya lantang menentang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi boleh berubah pendirian dan menyokong badan induk bola sepak negara.

“Berubahlah wahai orang-orang yang berkuasa dalam bola sepak sebelum ia menjadi semakin rumit,” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget