Khamis, 9 Jun 2016

KAFA lega FAM lanjut bayaran tunggakan gaji bekas pemain

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akui lega dengan Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan tempoh bayaran tunggakan gaji lima bekas pemainnya sehingga Julai ini.

Persatuan bola sepak negeri itu juga menganggap tempoh dua bulan yang diberikan untuk menyelesaikan masalah itu adalah memadai.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, turut berterima kasih kepada FAM kerana mengambil kira faktor kewangan yang dihadapi Kelantan dan memberi ruang kepada mereka untuk menyelesaikannya.

"Sejujurnya KAFA berasa lega dengan keputusan FAM yang melanjutkan tempoh bayaran sehingga Julai ini. Terima kasih FAM kerana masih memberi ruang dan peluang kepada kami.

"Dalam tempoh yang diberikan itu, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji semua yang terbabit.

"Pada masa sama, kita berharap dapat mencari pihak penaja yang bersetuju untuk memberi dana, sekali gus menyelesaikan kemelut yang dihadapi KAFA," katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, FAM memberi tempoh dua bulan kepada KAFA untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji kepada lima bekas pemain mereka. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, berkata KAFA diberi tempoh secara berperingkat selama dua bulan untuk menjelaskan bayaran gaji Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Nazri Ahmad, Mohd Fitri Omar dan Amiridzwan Taj Tajudin yang berjumlah RM355,709.25.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan dilakukan supaya ia dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik. KAFA perlu membuat bayaran pertama sebanyak RM75,179.50 yang dibayar sebelum 30 Jun ini manakala baki RM280,529.75 dibayar sebelum 31 Julai

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget