Sabtu, 11 Jun 2016

Gab­riel Guerra akui mahu sarung jersi JDT

Penyerang PKNS FC, Gab­riel Guerra mengakui dirinya mahu menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT), bagaimanapun hasratnya itu tidak akan dilakukan dalam waktu terdekat biarpun musim perpindahan Liga Malaysia (Liga M) bakal dibuka pada 20 Jun ini.

Difahamkan pemain kelahiran Argentina itu amat berminat untuk menyarung jersi skuad Harimau Selatan, apabila penyerang tersebut menyatakan minatnya itu kepada kenalan rapatnya.

Ketika dihubungi hari ini, sahabat kepada pemain tersebut yang enggan namanya dikenali mengesahkan tentang hasrat teman baiknya yang berminat untuk menyertai JDT kerana mahu mengembangkan lagi bakat serta kariernya dalam bola sepak.

“JDT merupakan pasukan paling hebat dalam negara ini dan sudah pasti ia menjadi idaman kepada setiap pemain untuk menyarung jersi skuad Harimau Selatan. Sebelum ini, Guerra ada memberitahu bahawa dia berminat untuk beraksi bersama JDT.

“Katanya dia berasa sangat gembira jika JDT mahukan khidmatnya, malah pada masa sama dia juga ingin mengembangkan lagi karier bola sepak. Dia sudah menjaringkan 39 gol dalam 49 perlawanan bersama skuad Red Ants.

“Namun, buat masa sekarang dia tidak tahu apa-apa. Malah, Guerra memberitahu jika perpindahannya ke JDT menjadi realiti ia tidak mungkin dilakukan pada musim perpindahan yang bakal bermula pada 20 Jun ini,” kata sahabat Guerra itu.

Guerra merupakan tonggak PKNS FC, malah pemain itu turut membantu skuad Red Ants me­langkah ke pentas akhir Piala FA sebelum tumpas 1-2 kepada JDT di Stadium Shah Alam pada 14 Mei lalu.

Bagaimanapun, jika Guerra mahu berhijrah ke JDT ia tampak sukar, memandangkan pada ketika ini skuad bimbingan, Mario Gomez itu sudahpun memiliki Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz, manakala dua lagi import skuad Harimau Selatan, Hariss Harun serta Marcos Antonio pula berada di tahap terbaik.

Dalam pada itu, menurut rakan Guerra itu lagi, pemergian penyerang tersebut ke Johor, baru-baru ini kerana dia mahu melawat dua rakannya iaitu Lu­cero dan Diaz.

“Guerra ada pergi ke Johor pada 21 hingga 23 Mei lalu kerana dia mahu melawat dua rakannya iaitu Lucero dan Diaz. Itu sahaja,” katanya.

Jelasnya, Guerra mengakui dia sudah tidak menjalani sesi latihan bersama PKNS FC, bagaimanapun tidak mengetahui sebabnya.

Sumber : utusan

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget