Selasa, 12 April 2016

PETEH desak Sarbinee di'rehat'kan

Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (PETEH) kecewa dengan rentak tidak konsisten skuad Penyu yang mengalami dua kekalahan berturut-turut dengan terbaru tewas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, kelmarin.

Lebih menyedihkan, skuad kendalian Mike Mulvey melepaskan tujuh gol dalam kedua-dua perlawanan itu termasuk dimalukan FELDA United 1-4 di tempat sendiri, minggu lalu.

Setiausaha PETEH, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, berkata pihaknya bukan tidak boleh menerima kekalahan, tetapi terkilan apabila pasukan kalah dengan mudah serta dibolosi jaringan besar.

Katanya, sekarang sudah terbukti benteng Terengganu tidak sekebal yang disangka sekalipun memiliki 'kereta kebal', Vincent Bikana di posisi itu.

"Kita melihat, prestasi pemain import pertahanan Cameroon sejak kebelakangan ini amat mengecewakan kerana sering melakukan kesilapan mudah.

"Jadi, kita menuntut Mulvey membuka mata dengan situasi ini dan perlu merombak bahagian benteng untuk perlawanan akan datang.

"Ini termasuk merehatkan Md Sarbinee Allawee dengan memberi kepercayaan kepada penjaga gol muda, Amierul Hakimi Awang atau Sharmiza Yusoff bagi mengawal gawang pasukan," katanya.

Wan Mohd Azmi berkata, pihaknya mengharapkan Mulvey dapat melakukan bedah siasat dan kerja rumah secukupnya bagi memantapkan pasukan itu.

"Selain pertahanan, jentera serangan juga satu masalah besar buat pasukan dan pihak pengurusan sudah boleh memikirkan sama ada membawa masuk penyerang baharu pada pendaftaran kedua Liga Malaysia nanti," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget