Sabtu, 9 April 2016

Kelantan JDT kongsi mata, Felda United ungguli persada liga

Kelantan mempamerkan aksi bersemangat untuk kembali bangkit 2-2 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mohammad IV, sebentar tadi.


Aksi Liga Super di Kota Bharu tidak mengecewakan tatkala kedua-dua pasukan bersaing sengit sejak minit pertama demi tiga mata penuh. Bagaimanapun, JDT tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan.

Awang import, Juan Martin Lucero, membuka tirai jaringan buat skuad Harimau Selatan seawal minit ke-9. Hantaran tinggi Safiq Rahim ditemui Marcos Antonio, namun tandukannya hanya mampu menemui tiang gol sebelum lantunannya disumbat mudah oleh penyerang kelahiran Argentina itu.

Dalam satu perlawanan yang dicemari beberapa insiden kekasaran, kad kuning pertama dilayangkan seawal minit ke-13 susulan terjahan Jonathan McKain ke atas kapten JDT, Safiq.

Bersambung babak kedua, Lucero melebarkan pendahuluan JDT pada minit ke-52 apabila menerima umpanan daripada Azamuddin Akil. Penyerang import itu membuktikan kemampuannya ketika menyempurnakan peluangnya dengan begitu mudah ketika berdepan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kebangkitan The Red Warriors dimulakan apabali pasukan tuan rumah membalas jaringan menerusi tandukan kelas tersendiri Indra Putra Mahayuddin yang melepasi Fahrizal Hassan.

Benteng pertahanan JDT pasti kesal ketika membenarkan Wan Zaharulnizam ataupun 'Kechik' menyamakan kedudukan apabila menyudahkan hantaran sempurna Brendan Gan  menerusi aksi 'diving header'. Keputusan perlawanan kekal 2-2 sehingga wisel penamat.

Sementara itu, kemenangan 3-1 ke atas Selangor menyaksikan Felda United memintas JDT dengan 18 mata selaku peneraju Liga Super selepas tujuh perlawanan.

Pemain tengah, Hadin Azman, mencetak gol pertama sebelum Patrick Wleh menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-71.

Bagaimanapun, The Red Giants dikecewakan oleh dua gol pantas dua pemain import The Fighters, Zah Rahan Krangar dan Francis Forkey Doe.

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget