Rabu, 2 Mac 2016

Selangor rampas kedudukan teratas Liga

Selangor merampas kedudukan teratas Liga Super selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Selasa malam.

Pasukan Red Giant yang sebelum ini di kedudukan ketiga liga, melonjak ke tangga teratas setelah berkongsi 10 mata bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), dengan kelebihan jaringan.

Pada aksi malam ini, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu, bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pasukan lawan seawal minit ketujuh menerusi pemain import, Juninho dari Brazil.

Biarpun ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat pemain tuan rumah untuk menyamakan kedudukan menerusi R. Gopinathan pada minit ke-25, dan Patrick Ronaldinho Wleh dari Liberia pula menambah jaringan selang tiga minit kemudian.

Patrick Ronaldinho memberi keceriaan kepada penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-56 disusuli jaringan Azrif Nasrulhaq pada minit ke-67.

Gol kedua Sarawak pula dijaringkan Gilmar da Silva dari Brazil pada minit ke-76 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Selangor, Shahrol Kalam.

Juara Liga Super 2015, JDT mengekori rapat di tangga kedua selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Felda United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di hadapan menerusi pemain import, Lutfulla Turaev dari Uzbekistan pada minit ke-28 perlawanan.

Skuad Harimau Selatan, bagaimanapun bangkit apabila penyerang sensasi Jorge Pereyra Diaz dari Argentina berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50. S. Chanturu menambah keceriaan penyokong tuan rumah dengan jaringan kedua pada minit ke-83.

Dalam pada itu, pemain Felda United, Adib Aizudin Ab Latif dilayangkan kad merah apabila menerima dua kad kuning selepas menjatuhkan Pereyra Diaz dan menendang seorang lagi pemain JDT, S. Kunalan.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pula menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mencatat kemenangan 2-1 menentang Kelantan.

Skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors terlebih dahulu membolosi gawang tuan rumah menerusi jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-29, sebelum pemain import Kedah, Carlos Eduardo menyamakan kedudukan pada minit ke-67. Kedah memperoleh gol kedua yang juga gol kemenangan pada minit ke-81 menerusi Mohd Syafiq Ahmad.

Di Stadium Bandaraya, pula menyaksikan tuan rumah Pulau Pinang dan Perak berkongsi satu mata apabila kedua-dua pasukan seri 1-1.

Tuan rumah memperoleh gol pertama menerusi Osas Saha pada minit ke-19, namun Perak berjaya menyamakan kedudukan melalui Shahrul Saad pada minit ke-45, dan kedudukan itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Pasukan T-Team dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

PDRM terlebih dahulu berada di hadapan menerusi sepakan penalti pemain import, Ali Ashfaq manakala gol T-Team melalui pemain import mereka, Makan Konate dari Mali pada minit ke-70.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula menyaksikan Pahang gagal memanfaatkan aksi di tempat sendiri apabila tewas 1-2 kepada Terengganu. Kedua-dua gol Terengganu dijaringkan Amirul Syahmi Asha'ri pada minit ke-14 dan 24, manakala jaringan tunggal pasukan tuan rumah menerusi Salamon Raj pada minit ke-48.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget